DAP minta kerajaan negeri siasat tragedi kepala air di Yan

DAP minta kerajaan negeri siasat punca tragedi kepala air di Yan

TAN KOK YEW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: DAP Kedah meminta kerajaan negeri membuat siasatan segera dan mendedahkan kepada rakyat Kedah secara telus punca tragedi kepala air di Yan dekat sini semalam yang meragut nyawa penduduk dan kerosakan harta benda.

Pengerusinya, Tan Kok Yew berkata, kerajaan negeri juga perlu memaklumkan secara terbuka tahap kerosakan, bilangan keluarga terlibat dan tindakan untuk mengurangkan impak tragedi sekiranya kejadian itu berulang selepas ini. 

“DAP Kedah merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada warga Kedah yang terlibat dan terkorban dalam musibah kepala air itu. Banyak video yang tular memaparkan kemusnahan harta benda penduduk dan kejadian banjir kilat yang melanda secara tiba-tiba di beberapa tempat sekitar Gurun, Merbok dan Singkir Darat.

“Bantuan dan penilaian kerugian juga harus dilakukan kepada penduduk yang mengalami kerosakan harta benda serta rumah yang dilimpahi air. Sekiranya perlu berpindah, diharapkan perpindahan itu dapat dilakukan dalam keadaan yang mematuhi prosedur operasi standard Covid-19,” katanya di sini hari ini.

Beliau menambah, agensi berkaitan bencana juga diharap dapat menyediakan beberapa bantuan keperluan asas kepada penduduk terjejas.

“Penduduk hakikatnya tidak bersedia dan tidak sangka kejadian ini berlaku. Sekiranya kita amati video rakaman yang tular itu, kita akan mendengar beberapa reaksi penduduk yang terkejut dengan kejadian itu.

“Arus air dilihat agak besar di samping berwarna keruh dan membawa sisa–sisa pokok dan lumpur turun dari Gunung Jerai. Fenomena ini mengakibatkan beberapa tempat rekreasi yang terkenal mengalami kerosakan akibat kejadian kepala air itu seperti Titi Hayun, Tupah dan Seri Perigi,” katanya.

Tambah beliau, DAP Kedah percaya kerajaan negeri akan menangani kemalangan dan menguruskan bencana ini dalam kadar segera. 

“DAP Kedah di kawasan Parlimen Jerai ambil maklum kejadian ini dan bersedia untuk menghulurkan tangan bila diperlukan,” katanya.

Seramai tiga mangsa dilaporkan terkorban dan tiga lagi masih hilang dalam kejadian kepala air dan tanah runtuh di Gunung Jerai dan beberapa kampung di sini pada petang semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN