Dadah: Empat suspek termasuk pasangan kekasih ditangkap

Dadah: Empat suspek termasuk pasangan kekasih ditangkap

ANTARA dadah dan peralatan yang dirampas polis di sekitar Shah Alam, Selangor melibatkan penangkapan empat suspek termasuk pasangan kekasih baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Polis berjaya menumpaskan tiga kegiatan pengedaran dadah dengan tertangkapnya empat suspek termasuk pasangan kekasih di sekitar daerah ini, baru-baru ini.

Penahanan suspek berusia 26 hingga 35 tahun itu membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah selain air ketum dan ubat batuk dianggarkan bernilai RM44,068.

Kesemua dadah jenis syabu, heroin, ganja, Eramin 5, cecair Kodein dan pil Yaba itu dipercayai boleh menampung seramai 3,105 orang penagih. 

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, operasi berasingan antara 1 Ogos hingga kelmarin itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dengan dibantu unit kereta peronda (MPV) dan unit rondaan bermotosikal (URB).

Katanya, serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah teres di Seksyen 19 di sini, kira-kira pukul 6 petang, 2 Ogos lalu.

“Selain penahanan seorang lelaki, kita merampas 996 biji pil Yaba, 12 tong plastik dan 200 botol berisi cecair Kodein serta 42 bungkusan air ketum. Semua rampasan termasuk peralatan memproses air ketum itu dianggarkan bernilai RM26,688,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Baharudin, operasi kedua melibatkan penahanan seorang lelaki yang menunggang motosikal di Jalan Persiaran Kemajuan Seksyen 17, kira-kira pukul 12 tengah hari, 6 Ogos lalu.

“Pemeriksaan lanjut menemui lapan peket plastik lutsinar berisi heroin yang dianggarkan seberat 11.34 gram (g). Nilai rampasan dadah berkenaan dianggarkan RM480,” ujarnya.

Tambah beliau, penahanan ketiga melibatkan pasangan kekasih yang menaiki kereta di parkir berhadapan sebuah restoran di Setia Alam, pukul 7.20 malam, 13 Ogos lalu.

“Penahanan mereka membawa kepada rampasan 20 peket plastik lutsinar mengandungi syabu seberat 67.70 g. Turut disita, wang tunai berjumlah RM12,050 dan sejumlah barang kemas,” katanya.

Jelas Baharudin, pihaknya kemudian turut merampas sejumlah dadah di rumah sewa suspek di sekitar Subang Jaya, Sabtu lalu.

“Selain heroin, kita menemui satu peket plastik berisi ganja, empat pil Eramin 5 dan satu alat penimbang digital. Anggaran nilai kesemua rampasan itu berjumlah RM10,130,” katanya.

Ujar beliau, kesemua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12(2) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN