SYDNEY: Syarikat penerbangan Australia, Qantas akan mewajibkan semua kakitangannya mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.
Langkah itu dibuat ketika syarikat tersebut berusaha memulihkan semula industri penerbangan yang terjejas dengan kesan pandemik Covid-19.
Syarikat penerbangan nasional itu merupakan antara firma utama Australia yang pertama mewajibkan suntikan vaksin untuk pekerjanya.
Perintah itu turut membabitkan syarikat penerbangan perkhidmatan tambang rendah, Jetstar.
Semua juruterbang, kru kabin dan kakitangan lapangan terbang diwajibkan mengambil suntikan vaksin Covid-19 sepenuhnya sehingga 15 November depan.
Kakitangan lain yang bekerja di syarikat pernerbangan itu pula diwajibkan untuk mendapatkan vaksin Covid-19 sehingga 31 Mac tahun depan.
“Pekerja yang sudah menerima vaksin lengkap akan melindungi mereka daripada virus tersebut dan penumpang lain,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Qantas, Alan Joyce dalam kenyataan. – AFP










