Cerucuk sekat aliran air di ban pecah - Utusan Malaysia

Cerucuk sekat aliran air di ban pecah

MOHD. Zolkafly Harun (kanan) melawat PPS di SK Alor Pongsu dekat Bagan Serai hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Kerajaan neģeri memohon peruntukan khas RM800,000 dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk membaiki dua ban Rancangan Tambatan Banjir (RTB) yang runtuh di Sungai Samagagah, Alor Pongsu dekat sini semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, kejadian pada pukul 10.30 pagi semalam menyebabkan air sungai Samagagah melimpah berikutan hujan lebat luar biasa di kawasan tadahan Sungai Kerian.

“Terdapat dua lokasi ban yang pecah iaitu di Kampung Selekoh Matang Pasir sepanjang 30 meter manakala satu lagi di Kampung Parit Haji Kassim sepanjang 10 meter.

“Kejadian itu mengakibatkan banjir yang menjejaskan kira-kira 400 buah rumah di beberapa kampung berhampiran,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melawat lokasi ban yang pecah dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Pongsu dekat sini hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat.

Menurut Mohd. Zolkafly, pada peringkat awal, kerja menanam cerucuk telah dijalankan bagi menyekat air sungai daripada terus melimpah ke kawasan berdekatan.

“Kerajaan negeri bersama JPS mengambil tindakan segera untuk menyekat air daripada terus melimpah dari sungai bagi mengelak banjir.

“Penanaman cerucuk telah berjalan dan akan mengambil masa dua hari dan kita percaya ia dapat menyekat aliran air dari hulu sungai,” katanya.

Menurutnya, kedalaman purata banjir di sini ketika ini adalah 0.5 meter dan ada laluan yang terpaksa ditutup demi keselamatan pengguna.

“Laluan di jalan FT147 ditutup kepada semua jenis kenderaan untuk keselamatan pengguna dan laluan itu akan dibuka apabila air surut,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN