Bilangan mangsa banjir di Perak menurun - Utusan Malaysia

Bilangan mangsa banjir di Perak menurun

KEADAAN jalan yang dinaiki air akibat banjir di Bagan Serai hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Bilangan mangsa banjir di Perak menurun kepada 241 orang melibatkan 66 keluarga setakat pukul 3 petang hari ini berbanding 291 orang daripada 79 keluarga semalam, manakala sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berkata, penurunan itu disebabkan PPS Dewan Serbaguna Kampung Batu 20, Kampar, yang menempatkan 10 orang daripada dua keluarga, ditutup selepas keadaan banjir di kampung tersebut kembali pulih.

Pada masa sama, jelasnya, bilangan mangsa di daerah Larut Matang dan Selama (LMS) berkurangan apabila 70 orang daripada 23 keluarga yang masih ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Matang, berbanding 102 orang daripada 32 keluarga yang berada di situ semalam.

“Bilangan mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Pongsu dalam daerah Kerian, turut menurun daripada 68 orang melibatkan 19 keluarga semalam kepada 60 orang atau 17 keluarga hari ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut beliau, bilangan mangsa di PPS SK Changkat Lobak juga dalam daerah Kerian, bagaimanapun tidak menunjukkan perubahan apabila kekal seramai 111 orang daripada 26 keluarga ditempatkan di situ.

Jelasnya, mereka adalah penduduk dari Kampung Matang Tengah dan sebahagian penduduk Kampung Parit Simpang Lima, Alor Pongsu, yang rumah mereka dinaiki air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN