KEMAMAN: Seorang bapa sanggup membelanjakan kira-kira RM3,000 bagi menghasilkan sebuah video bertemakan kemerdekaan semata-mata untuk memupuk semangat cintakan tanah air dalam kalangan anak-anaknya.
Istimewanya, video arahan Noor Zamri Shafie, 53, dengan dibantu isterinya, Salida Abdullah, 45, itu dilakonkan sendiri oleh dua anaknya yang masing-masing berusia 9 dan 11 tahun di samping anak-anak saudara.
Noor Zamri berkata, idea untuk menghasilkan video itu timbul berikutan kerinduan terhadap sambutan Hari Kebangsaan yang saban tahun dihadiri keluarganya termasuk empat anak di ibu negara.
Katanya, antara peralatan yang dibeli termasuk gajet bersesuaian, senapang patah, Jalur Gemilang di samping kostum.
“Sejak dari kecil, anak-anak sudah biasa dibawa tengok perarakan di samping turut memakai kostum kemerdekaan tetapi disebabkan Covid-19 tiada lagi sambutan sebegitu, jadi saya cuba mencipta kelainan bagi membolehkan kami bersama-sama menghayati Hari Kebangsaan.
“Buat masa ini kita masih dalam proses suntingan akhir dan selepas urusan berkenaan selesai, video berdurasi tiga minit itu akan dimuat naik di laman Facebook saya,” katanya kepada pemberita di kediamannya di Kampung Geliga, hari ini.
Noor Zamri yang merupakan kontraktor ladang berkata, jalan cerita video itu berkisar tentang seorang isteri yang kehilangan suami akibat diserang komunis ketika mereka pulang dari kebun hingga mencetuskan pertempuran antara anggota keselamatan dengan pengganas.
Menurutnya, dia dan isteri akan memastikan anak-anak menghayati watak yang dilakonkan supaya mereka faham pahit getir perjuangan generasi terdahulu yang bermati-matian mempertahankan negara.
Katanya, proses penggambaran kebanyakannya dibuat di kawasan hutan di belakang rumahnya di samping sekitar Pantai Teluk Mak Nik di Chukai.
“Ada juga orang awam yang tengok, tetapi saya buang rasa malu itu kerana mahu menyampaikan mesej kepada generasi muda mengenai tanggungjawab mengekalkan keharmonian negara,” katanya.