Bantu ringan beban keluarga Intan Iewanina - Utusan Malaysia

Bantu ringan beban keluarga Intan Iewanina

RINA Harun (kanan) beramah mesra dengan ahli keluarga Intan Iewanina ketika menziarahi mereka di Flat Sri Perantau di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menyalurkan beberapa bantuan di bawah peruntukannya kepada keluarga Intan Iewanina Mohd. Suhaimi yang menjadi yatim piatu selepas ibu dan bapa merea meninggal dunia akibat jangkitan virus Covid-19, minggu lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berkata, bantuan tersebut diberikan bagi meringankan beban Intan Iewanina, 21 bersama empat  adik-beradiknya.

“Kita akan berikan bantuan bulanan RM500 kepada ahli keluarganya yang berumur 18 tahun ke bawah.

“Selain bantuan kewangan, kita melalui Lembaga Kaunselor Malaysia juga akan berikan bantuan kaunseling kepada mereka sekiranya memerlukan,” katanya selepas menziarahi keluarga Intan Iewanina di Flat Sri Perantau, di sini, hari ini.

Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan kisah menyayat hat Intan Iewanina serta adik-beradiknya yang sekelip mata menjadi yatim piatu apabila ayahnya, Allahyarham Mohd. Suhaimi Zakaria, 55 dan ibunya, Allahyarhamah Ramli Mukhtar, 43, meninggal dunia akibat jangkitan virus Covid-19, minggu lalu.

Difahamkan, mereka sekeluarga dijaga ibu saudara mereka, Rosilah Mukhtar yang tinggal di berhampiran.

Selain bantuan daripada JKM, Rina memaklumkan bahawa beliau secara peribadi akan memberikan wang saku sebanyak RM250 sebulan kepada Intan Iewanina sepanjang dia menduduki pengajiannya di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Dalam pada itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah memberikan bantuan kepada ahli keluarga yang kehilangan ibu bapanya akibat Covid-19.

“Berapa banyak ahli keluarga yang telah dibantu tidak ada namun, kita akan wujudkan data mengenai perkara ini.

“Kita juga akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan jumlah pesakit Covid-19 meninggal dunia yang mempunyai anak,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN