Annuar nafi negara hadapi krisis Perlembagaan - Utusan Malaysia

Annuar nafi negara hadapi krisis Perlembagaan

ANNUAR MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selain menepis dakwaan bahawa negara berhadapan krisis perlembagaan, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menegaskan hubungan kerajaan dengan Yang di-Pertuan Agong masih utuh.

Jelas Ahli Parlimen Ketereh itu, kerajaan sudah mempunyai cara penyelesaian tentang isu pembatalan ordinan-ordinan berkenaan dengan mengambil kira titah pandangan Seri Paduka.

“Kita yakin Agong tidak suka pihak tertentu yang sengaja mengambil kesempatan menokok tambah cerita dengan menambah ‘perasa’ politik bagi memenuhi agenda masing masing.

“Sekarang darurat sudah pun tamat, Parlimen juga sudah dibuka Ini selari dgn titah pandangan Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong.

“Justeru, Kabinet dan Seri Paduka akan sentiasa dan terus saling berbincang dan secara bersama melaksanakan tugas mentadbir negara seperti biasa menurut undang-undang dan perlembagaan negara dengan Seri Paduka sebagai Ketua Negara,” katanya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa sangat dukacita dengan kenyataan dibuat di Parlimen bahawa kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, ini sedangkan, pembatalan semua Ordinan Darurat belum mendapat perkenan Seri Paduka.

Beliau berkata, Seri Paduka turut berdukacita kerana pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa 21 Julai lalu yang dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang di dalam Rukun Negara.

Pada 26 Julai lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan menjelaskan kerajaan Persekutuan telah membatalkan semua peraturan Ordinan Darurat namun kenyataan itu mendapat bantahan pelbagai pihak yang disifatkan tidak melalui proses yang betul selain ‘membelakangkan’ Yang di-Pertuan Agong. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN