PETALING JAYA: Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa mencadangkan seorang pemimpin kanan Barisan Nasional (BN) sebagai calon Perdana Menteri kesembilan.
Jelas bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu, beliau berharap langkah itu dapat dituruti oleh ahli-ahli Parlimen lain.
“Saya baru terima surat Yang Dipertua Dewan Rakyat mengarahkan ahli Parlimen menamakan seorang ahli sebagai calon Perdana Menteri kesembilan untuk dipersembahkan ke hadapan Yang di-Pertuan Agong.
“Saya akan tunaikan tanggungjawab setelah saya merujuk kepada pimpinan parti serta kawan-kawan daripada parti sahabat. Yang pasti, saya berhasrat mencadangkan seorang pemimpin terkanan parti BN dan mohon agar turut disokong oleh kawan-kawan ahli Parlimen pelbagai parti yang lain.
“Ini masanya kita lupakan yang lalu, pandang ke hadapan dengan perkasakan semula perpaduan parti serta perkukuhkan muafakat dan penyatuan Melayu, kaum bumiputera serta rakyat Malaysia berbilang bangsa dan agama. Doakan yang terbaik buat Malaysia dan kita serahkan pada kebijaksanaan dan budi bicara Agong,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Dalam satu surat rasmi, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun memaklumkan ahli-ahli Dewan Rakyat perlu memberikan Surat Akuan (SD) masing-masing selewat-lewatnya esok pada pukul 4 petang esok kepada pihak Istana Negara untuk perhatian Setiausaha Sulit kepada Yang di-Pertuan Agong, Kolonel Datuk Nazim Mohd. Alim.
Hal ini adalah susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selepas beliau tidak lagi mempunyai sokongan majoriti daripada ahli-ahli Parlimen Dewan Rakyat.
Semua ketua-ketua parti atau wakil telah dipanggil untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini sekitar pukul 2 petang tadi di Istana Negara.










