Angkatan Muda Keadilan sambut baik pengunduran Muhyiddin

AMK sambut baik pengunduran Muhyiddin

AKMAL NASRULLAH MOHD. NASIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menerima baik pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akhirnya telah meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, hari ini.

Ketuanya, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, AMK konsisten menolak kerajaan yang terbentuk melalui pengkhianatan mandat rakyat dan hari ini terbukti kerajaan ‘scheme of things’ hanya mampu bertahan selama 17 bulan.

Tambahnya, ketidakcekapan menteri-menteri serta perebutan kuasa kelompok Perikatan Nasional (PN) menyebabkan negara gagal menangani krisis pandemik serta krisis ekonomi dengan baik.

“Mereka yang telah meninggal dunia akibat Covid-19 telah pergi selama-lamanya. Sistem kesihatan yang hampir lumpuh kerana kekurangan sumber dan tenaga.

“Mereka yang hilang pendapatan atau pekerjaan tidak tahu masa depan mata pencarian. Anak-anak kita terpaksa melalui sistem pendidikan yang tiada hala tuju.

“Bantuan-bantuan rakyat yang tidak mencukupi dan pemulihan ekonomi yang samar serta pelbagai cabaran yang kita hadapi ketika ini,” katanya yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru dalam kenyataan hari ini. 

Terdahulu, Muhyiddin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan selepas hilang majoriti sokongan ahli Parlimen dan cadangan kerjasama bipartisan yang dicadangkan beliau juga tidak mendapat sokongan parti politik di luar PN.

Perkara itu dimaklumkan beliau pada satu sidang akhbar di pejabatnya di Putrajaya yang turut disiarkan secara langsung di pelbagai platform telekomunikasi termasuk televisyen dan media sosial.

Mengulas lanjut, Akmal berharap pelantikan Perdana Menteri yang baharu akan berpandukan kepada Perkara 40 (2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan seperti mana yang dinyatakan dalam kenyataan Istana Negara hari ini.

“Sama-sama kita doakan agar ini membolehkan perubahan ke arah yang lebih baik buat negara yang tercinta,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN