SEREMBAN: Negeri Sembilan perlu menurunkan kes aktif Covid-19 sekurang-kurangnya purata sebanyak 72 kes seminggu melibatkan kategori tiga, empat dan lima bagi negeri ini beralih ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Ia juga perlulah seiring dengan penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) di hospital-hospital yang kini masih lagi tinggi.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, secara purata kes aktif Covid-19 bagi kategori tersebut di negeri ini masih di paras 500 kes seminggu.
“Ramai yang bertanya bila kita (Negeri Sembilan) ingin beralih ke fasa kedua, kerajaan negeri berusaha, kita telah capai lebih 50 peratus penduduk dewasa lengkah menerima dua dos vaksin Covid-19.
“Cuma jumlah kes aktif kategori tiga, empat, lima ketika ini puratanya 500 kes seminggu, kita kena capai purata 72 kes seminggu. Bilangan ICU kita masih tinggi lagi, ini antara faktor untuk dipertimbangkan kita ke fasa kedua,” katanya dalam sidang akhbar secara dalam talian selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco hari ini.
Sementara itu, Aminuddin berkata, beliau berharap pihak industri pelancongan di negeri ini khususnya di Port Dickson dapat memastikan mereka lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 secepat mungkin.
“Di Port Dickson, bilangan individu yang telah menerima vaksin hampir 90 peratus dan kerajaan negeri sudah berbincang dengan pihak industri pelancongan tempoh hari supaya mereka mendapatkan dua dos vaksin segera.
“Ia supaya apabila kita berada di fasa kedua nanti, kita sudah boleh mula memperoleh pelancong khususnya dalam kalangan pelancong domestik di negeri ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE