Agong titah jaga kampung daripada Covid-19 - Utusan Malaysia

Agong titah jaga kampung daripada Covid-19

Al-SULTAN Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kiri) menyantuni dan menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada penduduk yang memerlukan di Kampung Kuala Sentol di Maran, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya menjaga kampung masing-masing dengan baik khususnya ketika pandemik Covid-19.

Ketua Kampung Kuala Sentol, Asri Mat Piah berkata, Seri Paduka bertitah demikian kepadanya ketika Al-Sultan Abdullah menganugerahkan bakul makanan kepada 10 penduduk terpilih di situ petang ini.

Katanya, Al-Sultan Abdullah juga menitahkan ketua kampung supaya memastikan setiap anak buah menerima suntikan vaksin dan penduduk mempunyai bekalan makanan mencukupi.

“Seri Paduka berangkat mencemar duli secara mengejut menyantuni 10 penduduk kampung ini dan menyampaikan bakul makanan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip).

“Sambil menganugerahkan sumbangan, Seri Paduka turut menasihat penerima dan keluarga mereka supaya mengambil suntikan vaksin dan tidak berkompromi dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

“Pada masa sama Seri Paduka turut menasihatkan penduduk cekal menerima dugaan ini dan kerajaan akan berusaha sebaik mungkin membendung penularan Covid-19,” katanya kepada pemberita di Kampung Kuala Sentol di sini hari ini.

Asri turut terharu apabila Seri Paduka menasihatkannya supaya menjaga kampung itu dan kebajikan anak buah yang terkesan dengan Covid-19.

Menurutnya, Al-Sultan Abdullah mahu kebajikan penduduk dijaga dan memastikan setiap orang mematuhi SOP demi kebaikan bersama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN