SHAH ALAM: AEON Co. (M) Bhd. (AEON) menyasarkan 80 peratus daripada keseluruhan kakitangannya lengkap menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 pada Oktober ini..
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shafie Shamsuddin berkata, pada masa ini sebanyak 51 peratus kakitangan AEON sudah menerima suntikan dos vaksin pertama manakala sebanyak 32 peratus pula lengkap menerima dua dos vaksin sebelum akhir September ini.
“Kita menggalakkan dan memberi kaunseling kepada kurang daripada 40 kakitangan yang mungkin masih lagi ragu untuk mendapatkan suntikan vaksin.
“Walaupun mereka ini adalah pekerja di bahagian belakang (bukan berurusan secara terus dengan pelanggan), namun kita mengharapkan semua pekerja akan mengambil vaksin. Kita yakin semua orang memerlukan waktu untuk memahami,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021 di AEON Mall, Seksyen 13, di sini hari ini.
Pada sambutan tersebut, kesemua kakitangan dan pelanggan berhenti seketika ketika upacara nyanyian lagu Negaraku berkumandang tepat pukul 12 tengah hari.
Mengulas lanjut, Shafie memberitahu, sambutan tersebut diadakan secara serentak di semua 28 AEON Mall, AEON Stor (34), AEON Big (22), MaxValu Prime (9), AEON Wellness (65) dan DAISO (42).
“Hari Kebangsaan tahun ini sedikit berbeza kerana ia bukan hanya berkenaan semangat nasionalisme sahaja tetapi juga semangat untuk membebaskan diri dari pandemik yang melanda.
“Dengan peningkatan kadar vaksinasi, kita kini berada di landasan yang betul untuk mencapai imuniti kelompok,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE