96.7 peratus populasi dewasa di Lembah Klang terima dos pertama vaksin - Utusan Malaysia

96.7 peratus populasi dewasa di Lembah Klang terima dos pertama vaksin

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak 96.7 peratus golongan dewasa di Lembah Klang menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin sepanjang Operasi Lonjakan Kapasiti yang berakhir semalam.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, secara keseluruhan, sebanyak 37.5 peratus populasi dewasa di Lembah Klang lengkap menerima dua dos suntukan.

Beliau berkata, biarpun inisiatif itu tidak mencapai tahap 100 peratus seperti dikehendaki, namun ia akan cuba diselesaikan pada minggu ini.

“Saya difahamkan, baki tiga peratus golongan dewasa di Lembah Klang yang belum menerima vaksin kerana ada dalam kalangan mereka membatalkan janji temu dan tidak hadir pada tarikh ditetapkan disebabkan pelbagai faktor.

“Mereka yang belum menerima vaksin boleh ‘walk-in’ di sembilan pusat pemberian vaksin (PPV) yang disenaraikan bermula hari ini dengan mereka yang berusia 40 tahun ke atas dan golongan komorbiditi manakala bagi berusia 18 tahun ke atas bermula 5 Ogos ini,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Katanya, pihaknya akan menggunakan dua kaedah bagi memastikan semua penduduk dewasa di Lembah Klang divaksin iaitu secara walk-in ke PPV dan program jangkau komuniti bagi golongan pinggir bandar.

Khairy turut menegaskan, inisiatif walk-in itu hanya dilaksanakan di Lembah Klang memandangkan ia kini menjadi pusat penularan wabak buat masa ini.

“Pada masa sama, warga emas di Lembah Klang yang belum divaksin juga boleh datang ke mana-mana PPV,” katanya.

Katanya, secara keseluruhan, 95 peratus warga emas di seluruh negara sudah mendaftar bagi mendapatkan vaksinasi.

Sebelum ini, Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) menyenaraikan sembilan buah PPV di Lembah Klang yang akan terbabit dalam program vaksinasi secara walk-in bermula Isnin ini.

Ia termasuk KLCC (HCO F, HCO G dan HCO H), Bangi Avenue Convention Centre (BACC), Hotel Wyndham (Klang), Dewan Tun Razak (Sabak Bernam), Dewan Komuniti Serendah, Movenpick Hotel & Convention Centre (KLIA) dan Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam.

Program vaksinasi itu dibahagikan kepada dua tarikh iaitu 2 hingga 4 Ogos dikhaskan khusus untuk individu 40 tahun ke atas atau golongan komorbid di Lembah Klang.

Manakala, bagi 5 hingga 22 Ogos pula dikhususkan kepada semua warganegara Malaysia berusia 18 tahunke atas di Lembah Klang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN