80 kes bunuh diri di Perak sepanjang PKP - Utusan Malaysia

80 kes bunuh diri di Perak sepanjang PKP

WAN Norashikin Wan Noordin ketika menjawab soalan lisan pada persidangan DUN Perak di Ipoh hari ini. - IHSAN URUSETIA DEWAN NEGERI PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sebanyak 80 kes bunuh diri dilaporkan di Perak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac tahun lalu sehingga akhir bulan lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin berkata, sebanyak 33 kes berpunca daripada tekanan jiwa, tidak diketahui punca (24 kes), masalah kewangan (13 kes), penyakit (empat kes) serta masalah dadah dan sakit mental masing-masing tiga kes.

“Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu, 66 kes melibatkan lelaki dan 14 lagi wanita dengan kaum Cina (32 orang), India (29 orang), lain-lain kaum (11 orang) dan lapan orang Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Mohd. Azhar Jamaluddin (BN – Changkat Jong) pada Sidang Dewan Undangan Negeri Perak di sini hari ini.

Menurut Wan Norashikin, berdasarkan statistik Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak pula, bilangan pesakit mental yang didaftar dan mendapat rawatan di klinik ialah 5,213 orang sepanjang tahun lalu serta 4,559 orang untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Beliau memberitahu, langkah pencegahan yang diambil oleh kerajaan negeri melibatkan kerjasama bukan sahaja dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), namun melibatkan  JKN, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK) serta Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (SKMM).

Jelasnya, antara langkah pencegahan dilakukan ialah mewujudkan Talian Kasih 15999 oleh JKM manakala Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) bersama kerajaan negeri menubuhkan Skuad Waja (Wanita Anti Jenayah) Perak yang bertujuan memperkasa komuniti melalui bimbingan psikososial dan aktiviti dalam komuniti.

Menurutnya, sehingga 15 Ogos lalu, seramai 270 sukarelawan  dilantik  sebagai Skuad Waja Perak yang digerakkan di semua 24 Parlimen dengan berteraskan semangat kesukarelawan.

“Bagi menangani isu kesihatan mental dalam situasi pandemik Covid-19, JKN melaksanakan perkhidmatan kesihatan mental dan sokongan sosial di peringkat negeri dan daerah termasuk di hospital dan klinik-klinik kesihatan untuk membantu menstabilkan emosi individu yang terkesan,” ujarnya.

Menjawab soalan tambahan, bagi jangka panjang, menurut Wan Norashikin, perlunya menyediakan persekitaran kondusif bagi mewujudkan masyarakat sejahtera dalam komuniti, peranan ibu bapa mendidik anak-anak patuh agama serta menerap nilai hidup yang baik daripada adab kemanusiaan dan nilai insaniah.

Beliau berpendapat, sekolah juga memainkan peranan penting dalam mendidik murid dan pelajar menjadi insan tahan diuji dalam apa jua keadaan selain menerapkan jati diri, kesabaran dan rasa bersyukur apabila menghadapi dugaan. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN