PUTRAJAYA: Sejumlah tujuh lokaliti dalam Mukim Paka, Daerah Dungun di Terengganu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) serentak bermula lusa.
Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad berkata, ia berkuat kuasa selama tempoh dua minggu hingga 10 September ini.
Lokaliti terlibat, ujarnya, ialah Bandar Paka, Gong Gemia, Cacar Baru, Limbong, Kuala Paka, Taman Indah Permai dan Telaga Mas yang membabitkan sejumlah lebih 10,000 penduduk.
PKPD di sini akibat Kluster Kampung Limbong daripada seorang penduduk tempatan bergejala yang berusia 55 tahun disahkan positif Covid-19 pada 16 Ogos dan menjangkiti 52 orang.
Turut dilaksanakan perintah berkenaan ialah penempatan masyarakat Orang Asli dari suku kaum Seletar di Kampung Simpang Arang, Gelang Patah dalam Daerah Johor Bahru, Johor. – UTUSAN ONLINE