PETALING JAYA: Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dipengerusikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad diperlukan bagi mengembalikan Malaysia kepada satu barisan kepimpinan negara yang kompeten dan bertanggungjawab.
Ketua Sekretariat Reset Malaysia, Dr. Nurul Ashikin Mabahwi berkata, MPN akan memfokuskan kemapanan ekonomi, memperkasa pendidikan, menurunkan suhu politik semasa dan memberi nafas kepada sektor kesihatan yang semakin tenat akibat kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam menguruskan kes Covid-19 yang saban hari meningkat serta menakutkan.
Jelasnya, keadaan negara kini tidak stabil selepas kegagalan kerajaan terdahulu memperjudikan dan membunuh sektor ekonomi, pendidikan, sosial dan politik.
“Jadi strategi penyelesaian pada saat ini, negara memerlukan MPN yang kalis pergolakan politik. Negara memerlukan seorang individu yang memahami dan berpengalaman menguruskan krisis serta mendapat pengiktirafan di Malaysia serta dunia dan figura itu ialah Dr. Mahathir.
“Seterusnya (penubuhan MPN), perlu dalam penjimatan penggunaan dana kerajaan serta strategi baharu menjana ekonomi terutama golongan miskin tegar. Dalam masa sama dapat memastikan pengurusan vaksin dalam kadar segera selain menolak unsur kronisme dan birokrasi yang melampau,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Nurul Ashikin menambah, sehingga kini sebanyak 65 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyokong untuk mewujudkan MPN dengan beberapa tuntutan seperti:
– Rakyat berhak mempunyai pemimpin yang lebih kompeten, berintegriti, teruji dan terbukti seperti Dr. Mahathir;
– Parlimen amat perlu untuk semak dan imbang pentadbiran negara dan dasar MPN;
– Menggesa tindakan proaktif Yang di-Pertuan Agong dalam menyelesaikan masalah krisis negara.
Cadangan penubuhan MPN dipengerusikan oleh Dr. Mahathir adalah mekanisme terbaik menangani krisis semasa negara selain menyeru rakyat untuk bersama menangani krisis negara.