PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 47 kes lagi varian baharu virus SARS-CoV-2 yang kesemuanya adalah varian membimbangkan (VOC).
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, penemuan itu susulan kajian berterusan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) yang mengenal pasti varian baharu terbabit.
Katanya, 47 kes varian baharu virus SARS-CoV-2 adalah 46 kes varian Delta (B.1.617.2) dan 1 kes varian Beta (B.1.351).
“Penemuan itu menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan Varian yang berkepentingan (VOI) adalah sebanyak 667 kes.
“Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 647 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI. Secara keseluruhan, sehingga kini, bagi VOC terdapat sebanyak 209 kes varian Beta, 424 kes varian Delta dan 14 kes varian Alpha.
“Bagi VOI, terdapat 13 kes varian Theta, empat kes varian Kappa, dan tiga kes varian Eta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – UTUSAN ONLINE