BUKIT MERTAJAM: Pasar Awam Kepala Batas yang sepatutnya dibuka semula mulai esok selepas ditutup selama tiga hari sejak Rabu lalu akan terus ditutup untuk tempoh 10 hari lagi iaitu sehingga 22 Ogos ini.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Rozali Mohamud berkata, keputusan itu dibuat selepas sekurang-kurangnya 41 kes positif Covid-19 dikesan di situ sehingga kini.
Beliau berkata, hasil maklumat yang diperolehi sehingga kini, seramai 79 peniaga dan pekerja atau pembantu perniagaan telah menjalani ujian saringan Covid-19.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 41 kes positif Covid-19 telah dikesan iaitu membabitkan 16 peniaga serta 25 pekerja atau pembantu perniagaan.
“Sehubungan itu juga, MBSP mengambil keputusan untuk menangguhkan pembukaan semula pasar awam ini dalam usaha untuk mengawal penularan pandemik ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Selain Pasar Awam Kepala Batas, enam lagi pasar awam di Seberang Perai yang terpaksa ditutup sebelum ini ialah di Bagan Ajam; Bukit Mertajam; Chai Leng Park; Mak Mandin, Seberang Jaya dan Taman Sri Rambai.
Dalam perkembangan berasingan kata Rozali, Pasar Awam Bukit Mertajam yang ditutup buat kali kedua bermula 4 Ogos lalu akan dibuka semula bermula esok.
Bagaimanapun katanya, MBSP akan mengambil tindakan sekiranya mengesan mana-mana peniaga atau pembantu yang masih menjalankan aktiviti perniagaan meskipun belum tamat tempoh kuarantin yang ditetapkan dan sebagainya. – UTUSAN