300,000 pengusaha, pekerja logam, barang kitar semula bakal gulung tikar

300,000 pengusaha, pekerja logam, barang kitar semula bakal gulung tikar

M. SELVENTHIRAN (dua dari kiri) menunjukkan memorandum berhubung rungutan MIMTA di pekarangan Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya. - FOTO/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Hampir 300,000 pengusaha logam dan barang-barang kitar semula di seluruh negara berdepan masalah gulung tikar dan hilang mata pencarian apabila masih tidak dibenarkan beroperasi dalam Fasa 1 Program Pemulihan Negara (PPN).

Presiden Persatuan Perpaduan Sejahtera Kebangsaan (PPSK), M Selventhiran berkata, rata-rata mereka yang terlibat terdiri daripada golongan pelbagai lapisan dengan sebahagian besar adalah kumpulan berpendapatan B40.

Beliau berkata, pihaknya merayu agar kerajaan mempertimbangkan perusahaan logam dan barang-barang kitar semula diletakkan di bawah sektor perkhidmatan bagi membolehkan mereka beroperasi semula seperti subsektor yang dibenarkan lain.

“Hampir 60 peratus golongan B40 menyara hidup menerusi pekerjaan ini. Rata-rata mereka yang bekerja dalam sektor ini meliputi pengusaha, pekerja daripada pelbagai lapisan yang pastinya akan menjana pendapatan mereka seharian.

“Penutupan operasi ini menyebabkan pengusaha mengalami kerugian kira-kira RM1 bilion sejak peralihan fasa PPN dibuat pada bulan Jun lalu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, M. Selventhiran mewakili PPSK menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung rungutan pengusaha logam dan barang barang kitar supaya dapat beroperasi semula.

Turut sama hadir memberikan sokongan dan menyerahkan memorandum itu adalah Malaysia Indian Metal Traders & Recycles Association (MIMTA).

Tambahnya, dia berharap agar kerajaan memberikan perhatian serius untuk membenarkan perkhidmatan pengusaha logam dan barang-barang kitar semula dibenarkan beroperasi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN