GEORGETOWN: Polis sedang menunggu pengesahan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) daripada individu yang mendakwa waris kepada mangsa yang rentung dalam kebakaran kereta selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Masjid Negeri, di sini awal pagi Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, ujian DNA itu perlu dilakukan selepas pengecaman mayat tidak dapat membuktikan mereka yang hadir merupakan waris kepada kesemua mangsa.
Jelasnya, perkara itu disebabkan barang peribadi yang diperoleh daripada ketiga-tiga mangsa tidak mencukupi selain tiada ciri-ciri pengenalan khas pada kesemua mangsa yang boleh membantu pengecaman.
Menurut beliau, kira-kira pukul 1.30 petang semalam, tiga keluarga yang mendakwa merupakan waris bagi ketiga-tiga mangsa kemalangan terbabit hadir untuk membuat pengecaman.
“Sehubungan itu, pihak forensik telah mengambil sampel DNA daripada setiap waris si mati untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi pengesahan identiti mayat.
“Ketiga-tiga mayat kini disimpan di bilik peti sejuk Jabatan Forensik sehingga pengesahan DNA mayat diperoleh dan seterusnya tindakan serah mayat kepada ahli keluarga akan dibuat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam kejadian awal pagi Isnin lalu, tiga individu rentung di dalam sebuah kereta jenis Toyota Vios yang terbakar selepas melanggar sebatang pokok di Jalan Masjid Negeri, Jelutong di sini.
Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 2.55 pagi sebelum bergegas ke lokasi.










