KEPALA BATAS: Keterujaan dua penuntut universiti di sini untuk mendapatkan pekerjaan berakhir dengan mereka kerugian lebih RM27,500 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan semalam.
Mangsa lelaki berusia 21 tahun dan perempuan berusia 23 tahun itu masing-masing kerugian RM21,450 dan RM6,095 selepas dipercayai ditipu sindiket yang menawarkan pekerjaan sambilan di sebuah platform e-dagang popular.
Mereka dikatakan mula terjerat dalam penipuan sindiket itu selepas melihat iklan yang ditawarkan di laman sosial Facebook, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mereka dikatakan menekan satu pautan di Facebook sebelum nombor telefon mereka dimasukkan ke dalam satu kumpulan aplikasi sosial WhatsApp.
Beliau berkata, menerusi kumpulan WhatsApp itu mangsa telah diberi penerangan tentang pekerjaan yang perlu dilakukan sebagai ejen pembelian dalam talian.
“Mereka diminta melakukan tugas pembelian barangan yang ditetapkan oleh pengendali kumpulan itu yang mana pembayaran bagi setiap pembelian dibayar terus ke akaun bank sindiket.
“Pembayaran barang dalam tugasan itu bukanlah untuk pembelian, tetapi bertujuan menaikkan rating barangan tersebut di dalam platform berkenaan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, mangsa dijanjikan keuntungan sebanyak 10 peratus bagi setiap nilai pembayaran dan keuntungan akan dibuat setelah mereka selesai melakukan tugasan tersebut.
Ujarnya, pada peringkat awal mangsa menerima wang keuntungan seperti dijanjikan yang mendorong mereka membuat lebih banyak pembayaran secara berperingkat sehingga masing-masing berjumlah RM6,095 dan RM21,450.
“Kedua-dua mereka bagaimanapun menyedari ditipu selepas tidak menerima wang keuntungan yang dijanjikan membuat laporan polis,” katanya.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Dalam pada itu, Noorzainy menasihatkan orang ramai berwaspada dan tidak mudah percaya kepada mana-mana individu yang menawarkan peluang pekerjaan sambilan melalui media sosial dengan meminta wang bayaran kerana ia merupakan modus operandi sindiket.
“Sehingga kini (tahun ini), sebanyak lima kes (sama) direkodkan di SPU dengan jumlah keseluruhan kerugian adalah sebanyak RM59,328,” katanya. – UTUSAN ONLINE