PETALING JAYA: Polis mengesan taktik sindiket yang menawarkan peluang pekerjaan sebagai ejen syarikat dengan bayaran antara RM200 hingga ke RM300 sehari bagi memperdaya mangsa.
Taktik tersebut digunakan sindiket berkenaan penipuan bagi tawaran kerja sebagai ejen jualan di platform e-dagang.
Bukan itu sahaja, sindiket tersebut turut menjalinkan hubungan dengan sindiket antarabangsa untuk menjalankan penipuan mereka melalui kaedah media sosial seperti Instagram dan Facebook (FB) untuk mencari mangsa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, sebanyak 164 laporan polis berkaitan penipuan tawaran kerja membabitkan nilai kerugian keseluruhan RM2,394,430.14 direkodkan sejak Januari hingga 12 Julai lalu.
Menurutnya, berdasarkan maklumat, sindiket dikesan mempunyai jalinan kerjasama dengan sindiket antarabangsa dan turut menipu mangsa dari negara jiran, Singapura.
“Susulan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial bersama-sama pihak berkuasa Singapura menjalankan satu serbuan dan pemeriksaan di sebuah kondominium mewah di Taman Desa Skudai, Johor Bahru, Johor yang dipercayai menjadi pusat operasi sindiket antarabangsa penipuan tawaran pekerjaann pada Khamis lalu.
“Tiga individu warga tempatan berusia 21 hingga 27 tahun ditahan. Turut dirampas dua unit komputer riba, tujuh unit telefon bimbit, satu unit tablet, 12 keping kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM), seutas jam tangan, dua unit router, dua keping token dan beberapa dokumen berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Kamarudin berkata, berdasarkan siasatan, sindiket itu mula beroperasi sekitar Jun lalu menggunakan kemudahan media sosial seperti Instagram dan FB dengan menawarkan peluang kerja sebagai ejen syarikat untuk membeli barangan yang diiklankan melalui platform e-dagang.
Jelasnya, pembelian itu didakwa untuk menaikkan rating dan nilai jualan syarikat yang berkaitan.
“Mangsa yang berminat akan menerima mesej melalui WhatsApp yang mengandungi pautan untuk barangan yang perlu dibeli.
“Bagi setiap barangan yang dibeli, mangsa akan dibayar semula nilai barangan yang dibeli berserta tambahan komisen lima peratus hingga lapan peratus,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Mohd. Kamarudin memberitahu, proses pembelian dan bayaran semula akan berulang-ulang dimulai dengan barangan murah namun, apabila mangsa membuat pembelian barangan yang mahal, bayaran balik tidak lagi dibuat atas alasan masalah pemindahan wang.
Kata beliau, mangsa seterusnya diminta membuat bayaran ke dalam akaun keldai kononnya sebagai yuran pemprosesan, penalti cukai, tukaran wang asing dan sebagainya.
“Mangsa hanya akan sedar ditipu apabila wang yang dijanjikan tidak diterima walaupun mereka sudah membuat pembayaran.
“Berpandukan kepada rampasan yang dibuat, dipercayai sindiket ini mempunyai kaitan dengan 95 laporan polis membabitkan mangsa di Singapura dengan nilai kerugian RM2,139,319 (S$690,000) dan sekurang-kurangnya satu laporan polis di negara ini membabitkan kerugian RM21,700.
“Siasatan setakat ini turut mendapati suspek yang ditahan berperanan untuk memindahkan wang hasil penipuan daripada akaun keldai ke dalam akaun e-wallet yang diberikan oleh pihak atasan sindiket,” katanya.
Dalam pada itu, mendedahkan peranan ahli sindiket, Mohd. Kamarudin menjelaskan mereka ditugaskan untuk membuat pembelian ‘cryptocurrency’ dan menerima komisen 0.2 peratus dengan nilai anggaran RM1,860 (S$600) setiap hari.
“Justeru, usaha untuk mengesan saki-baki sindiket yang masih bebas sedang giat dijalankan oleh pihak polis dan pihak polis Singapura.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer 1997.
“Tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan, Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFPUAA 2001) juga akan diambil,” tambahnya.