100 kain rentang desak Ahmad Zahid letak jawatan dikesan di Bagan Datuk - Utusan Malaysia

100 kain rentang desak Ahmad Zahid letak jawatan dikesan di Bagan Datuk

ANTARA kain rentang provokasi terhadap Ahmad Zahid Hamidi yang dipasang di Bagan Datuk, Perak, hari ini. -MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Dianggarkan 100 kain rentang provokasi mendesak Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya meletak jawatan dikesan digantung di sekitar Bagan Datuk, hari ini.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datuk, Mohd. Rizan Razali berkata, kain rentang tersebut dikesan digantung pada pagi ini dipercayai dipasang di lebih 17 tempat di sekitar pekan Bagan Datuk hingga ke Hutan Melintang.

Menurutnya, berdasarkan tinjauan, dianggarkan terdapat lebih 100 kain rentang seumpama itu yang dipasang di sekitar Bagan Datuk.

“Kain rentang yang dipasang ini terdiri dalam tiga reka bentuk.

“Kita tidak pasti ini kerja siapa namun tindakan ini keterlaluan dan biadab yang sengaja dilakukan untuk mengaibkan Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk.

“Perbuatan ini amat tidak bertanggungjawab dan berniat jahat memberi persepsi buruk kepada Ahmad Zahid. Kami mahu polis menyiasat perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Hutan Melintang dekat sini hari ini.

Menurutnya, Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datuk digerakkan ke seluruh kawasan untuk menurunkan kain rentang provokasi berkenaan.

Katanya, setakat ini pihaknya tidak mengetahui motif tindakan menggantung kain rentang tersebut kerana setakat ini ia hanya dikesan di Bagan Datuk.

“Setakat ini hanya di Bagan Datuk dan saya telah tanya rakan-rakan Pemuda UMNO bahagian lain bahawa tiada kain rentang provokasi seumpama itu dipasang di kawasan mereka.

“Beberapa kain rentang kita telah turun tetapi selepas itu dinaikkan semula di kawasan lain. Kita tak pasti apa motif sebenar mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.