KUALA KRAI: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara ( Perhilitan) Kelantan mengambil masa kira-kira 10 jam menyelamatkan seekor tapir yang jatuh ke dalam lubang di Kesedar Baru Chenulang, di sini semalam.
Operasi menyelamatkan tapir jantan dianggarkan seberat 200 kilogram itu dilakukan 13 kakitangan Perhilitan Kuala Krai bersama Perhilitan Gua Musang bermula pukul 10.30 pagi dan berakhir pukul 8.30 malam.
Pengarah Perhilitan Kelantan, Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif berkata, terdahulu pihaknya menerima laporan orang awam berkaitan seekor tapir terjatuh dan terperangkap dalam lubang di sebuah kebun getah di Kesedar Baru Chenulang.
Menurutnya, pemantauan terhadap kesihatan luaran oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mendapati tapir itu berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Tapir itu telah diberi makan dan minum sebelum operasi mengeluarkannya dari lubang dijalankan. Operasi menyelamatkan haiwan itu akhirnya tamat pada pukul 8.30 malam.
“Tapir yang diselamatkan ini dimasukkan ke dalam kotak pindah dan dibawa ke Taman Negara Pahang di Sungai Relau untuk dilepaskan semula ke habitat asalnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ady Ermanty Haniff dalam pada itu menasihatkan orang ramai supaya menghubungi Perhilitan negeri atau daerah terdekat sekiranya mempunyai maklumat berkaitan hidupan liar yang perlu diselamatkan.
“Sebarang aduan boleh disalurkan kepada Jabatan Perhilitan menerusi hotline 1-800-88-5151 atau 019-3885046 (Pengurusan Konflik Hidupan Liar Negeri Kelantan), atay e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my atau [email protected],” katanya.










