Vaksinasi ‘walk-in’ bermula Isnin di Lembah Klang - Utusan Malaysia

Vaksinasi ‘walk-in’ bermula Isnin di Lembah Klang

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Individu berusia 40 tahun ke atas yang belum ada janji temu vaksinasi Covid-19 di Lembah Klang berpeluang menerima imunisasi itu secara walk-in atau terus mulai Isnin ini.

Berita itu diumumkan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin dalam sidang akhbar hari ini.

“Inisiatif terbaharu ini merupakan antara sebahagian daripada Operasi Lonjakan Kapasiti yang dilancarkan pada 15 Julai lalu bagi mengekang wabak ini khasnya di Lembah Klang,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas membuat tinjauan pelaksanaan program vaksinasi khas untuk warganegara China yang menetap di Malaysia di sebuah resort dekat sini.

Sehingga semalam, sejumlah 5.6 juta penduduk dewasa di Lembah Klang sudah menerima dos pertama mereka manakala seramai 2.1 juta pula telah pun lengkap vaksinasi tersebut.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, individu yang berusia 18 tahun ke atas juga akan dibolehkan mendapat imunisasi secara terus itu di kawasan berkenaan bermula Khamis ini.

“Namun, bukan semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan terima walk-in dan senarai premis itu diumumkan kelak,” kata beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Ketika ini, terdapat sebanyak 138 PPV tetap di sekitar Lembah Klang yang masing-masing meliputi 117 buah di Selangor selain 16 lagi di Kuala Lumpur dan baki lima buah di Putrajaya.

Bagaimanapun, buat permulaan ujar Khairy, pemberian vaksin itu berdasarkan kaedah siapa datang awal akan menerimanya dan ia turut bergantung kepada kapasiti sesebuah PPV itu.

Justeru, sekiranya kuota bekalan dos vaksin sudah pun kehabisan pada hari berkenaan, mereka yang gagal mendapat imunisasi akan diberikan keutamaan pada keesokan harinya pula. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN