Vaksin: Warga emas manfaat peluang walk-in - Utusan Malaysia

Vaksin: Warga emas manfaat peluang walk-in

YEW Moy (kiri, berkerusi roda) ditemani menantunya, Siew Tong (kanan) ketika sesi pendaftaran bagi menerima vaksin Covid-19 di PPV Mega UiTM Puncak Alam, Kuala Selangor, Selangor hari ini. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Kesempatan untuk walk-in di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dimanfaatkan 34 orang warga emas yang hadir mendapatkan vaksin Covid-19 di Dewan Berlian, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam.

Lee Yew Moy, 78, berkata, pengumuman kerajaan membenarkan warga emas berbuat demikian semalam dianggap sebagai satu berita baik dan terus memberitahu menantunya, Tan Siew Tong untuk mengambil vaksin hari ini.

“Anak sanggup tutup kedainya untuk bawa saya ambil vaksin kerana saya tak mampu datang seorang diri.

“Sangat syukur dan gembira kerana penantian dapat vaksin telah berakhir,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di PPV Mega UiTM Puncak Alam, di sini, hari ini.

Yew Moy yang tinggal di Batang Berjuntai, Kuala Selangor menzahirkan penghargaan terhadap Kerajaan Pusat kerana memudahkan golongan warga tua sepertinya mengambil vaksin Covid-19.

Semalam, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin mengumumkan bahawa warga emas yang tinggal di Kuala Lumpur dan Selangor dibenarkan mengambil vaksin ‘walk-in’ bermula hari ini.

Menurutnya, tindakan tersebut diambil kerana mahu warga emas di dua negeri tersebut mendapat perlindungan daripada virus Covid-19 secepat mungkin.

Sementara itu, pegawai penyelaras sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MYVAC) PPV Mega UiTM Puncak Alam, Ahmad Hafifi Zainal Abidin berkata, seramai 34 warga emas yang telah mengambil vaksin secara terus di pusat itu sehingga pukul 2 petang semalam.

Menurutnya, mereka yang hadir masih belum menerima tarikh janji temu suntikan vaksin Covid-19.  – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN