BAGAN SERAI: Petugas kesihatan yang cuai kerana menggunakan picagari kosong ketika memberikan suntikan vaksin Covid-19 kepada penerima di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu Kem Lapangan Terbang Sungai Petani, Kedah pada Sabtu lalu telah dikenakan tindakan tatatertib.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, laporan polis juga telah dibuat mengenai dakwaan suntikan picagari kosong di PPV Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), yang didakwa berlaku pada Sabtu lalu.
Menurutnya, satu lagi dakwaan kes yang serupa di PPV Bangi Avenue Convention Centre (BACC) yang dikatakan berlaku dibuat pada Ahad juga didapati ada laporan polis dibuat mengenainya.
“Kementerian memandang serius dakwaan suntikan yang diberikan oleh petugas kesihatan sama ada picargari itu kosong atau vaksin tidak disuntik atau tidak ‘push’ ke dalam badan penerima.
“Bagi kes di PPV pandu lalu di Sungai Petani, orang awam telah membuat laporan dan saya difahamkan tindakan tatatertib telah diambil ke atas mereka yang terlibat dengan perkara itu.
“Dua lagi dua kes iaitu pada 17 di MITEC dan pada 19 Julai di BACC, Bangi, laporan polis telah dibuat dan siasatan sedang dijalankan oleh pihak polis,” katanya kepada pemberita di program korban AidilAdha di Parit Air Iitam di sini hari ini.
Mengenai tular video seorang petugas kesihatan tidak menolak jarum picagari ketika memberikan suntikan vaksin kepada penerima di sebuah PPV bergerak, Noor Azmi berkata, kes itu amat serius dan siasatan perinci akan dijalankan oleh polis.
“Kita sedang menunggu laporan polis mengenai siasatan kes itu,” katanya.
Menurutnya, kementerian memandang serius kejadian cuai yang berlaku sewaktu vaksinasi kerana kerajaan mahu mempercepatkan hasrat mencapai imuniti berkelompok pada kadar 70 hingga 80 peratus dalam kalangan rakyat.
Beliau berkata, namun dalam masa sama kualiti proses vaksinasi perlu diutamakan apatah lagi ketika kes Covid-19 masih tinggi dan varian baharu, varian Delta yang lebih berbahaya.
“Varian delta ini lebih ganas, jadi tak ada orang yang boleh main-main dengan perkara ini (suntikan vaksin), ia sangat serius. Jangan buat perkara ini main-main, tidak serius ketika memberikan suntikan vaksin dan tak ikut prosedur operasi standard (SOP).
“Sebab petugas kesihatan sudah diberikan penerangan iaitu sebelum dan selepas vaksinasi, mesti tunjuk picagari kepada orang yang menerima suntikan,” katanya.










