USIM hantar penuntut pulang sempena cuti semester - Utusan Malaysia

USIM hantar penuntut pulang sempena cuti semester

KAMPUS USIM di Nilai, Negeri Sembilan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seramai 555 pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai, dekat sini terlibat dalam Program Pergerakan Pulang Pelajar sempena cuti semester bagi sesi akademik 2020/2021 bermula hari ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Prof. Madya Dr. Mohd. Rushdan Mohd. Jailani berkata, daripada jumlah tersebut,  USIM menguruskan penghantaran pulang melibatkan 305 orang pelajar menggunakan kenderaan disediakan pihak universiti.

“Penghantaran pelajar ini dilaksanakan secara berperingkat, iaitu sebanyak tiga fasa melibatkan 11 buah negeri dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang  ditetapkan bagi memastikan penuntut tiba ke destinasi masing-masing dengan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, fasa kedua pergerakan pulang pelajar pula dilaksanakan pada 17 Ogos manakala fasa ketiga 25 Ogos ini.

“Ia dilaksanakan secara berperingkat memandangkan terdapat para pelajar yang masih menduduki peperiksaan akhir semester,” katanya lagi.

Mohd. Rushdan menambah, bagi pelajar yang tidak pulang menggunakan kenderaan universiti, mereka hanya dibenarkan untuk pulang menggunakan kenderaan sendiri.

“Pergerakan menggunakan kenderaan awam adalah tidak dibenarkan kecuali bagi perkhidmatan penerbangan.

“Semua pelajar ini diwajibkan mendaftar maklumat mereka secara dalam talian yang disediakan dan turut diberikan surat kebenaran rentas daerah dan negeri daripada pihak universiti sebagai rujukan kepada pihak berkuasa,” katanya lagi.

Dalam pada itu, ujarnya, pihak universiti juga dimaklumkan terdapat pelajar yang memilih untuk terus berada di kampus semasa cuti semester dan pihak universiti akan memastikan kebajikan dan keselamatan mereka diberikan perhatian. – UTUSAN ONLINE

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya