'Ultraman' pun ambil vaksin - Utusan Malaysia

‘Ultraman’ pun ambil vaksin

MOHAMAD SYUKUR Mohd. Patthi yang mengenakan kostum adiwira Ultraseven semasa menerima suntikan vaksin di Hospital Pakar KPJ, Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Pekarangan Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang di Bandar Perda di sini ‘gempar’ seketika apabila kelibat seorang individu lengkap berpakaian seperti adiwira muncul dengan menaiki kenderaan golf atau ‘buggy’.

Dia yang memakai kostum salah satu daripada karakter Ultraman iaitu Ultraseven kelihatan bersahaja dan sempat melayani mereka yang ingin bergambar dengannya sebelum menuju ke tempat pendaftaran untuk mendapatkan suntikan vaksin.

Ketika ditemui pemberita, Mohamad Syukur Mohd. Patthi, 27, mengakui teruja apabila dapat mengenakan kostum adiwira untuk mendapatkan vaksin.

“Saya dapat panggilan untuk ke PPV (pusat pemberian vaksin) ini saat akhir dan persiapan (memilih kostum) juga dibuat saat akhir.

KELIBAT individu yang memakai kostum adiwira Ultraseven mencuri tumpuan ramai ketika tiba di Hospital Pakar KPJ, Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang untuk mendapatkan suntikan vaksin.

“Memandangkan belum ada mana-mana penerima vaksin yang memakai kostum Ultraman atau Ultraseven setakat ini, maka, adiwira itu menjadi pilihan saya,” katanya.

Mohamad Syukur sebelum ini pernah mencuri tumpuan apabila dia bersama rakan-rakannya yang dikenali sebagai Geng Superhero Penang (GSP) menjual air jagung di tepi-tepi jalan di sekitar Kepala Batas, Seberang Jaya dan Bukit Mertajam dengan mengenakan kostum adiwira.

Selain karakter Ultraseven, dia juga pernah mengenakan beberapa kostum adiwira terkenal lain termasuk Bumblebee, Optimus Prime, Batman, Kamen Rider, Iron Man, Spiderman serta Power Rangers.

Kostum itu adalah koleksi peribadinya sendiri dan sering digayakan ketika dijemput memeriahkan majlis sambutan hari lahir dan sebagainya sebelum ini.

Dalam pada itu, Mohamad Syukur yang juga bekas pekerja di sebuah syarikat telekomunikasi itu berkata, dia mengenakan kostum Ultraseven ketika hadir menerima suntikan vaksin itu bertujuan menghiburkan orang ramai khususnya petugas barisan hadapan.

“Lagipun, sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), sudah lama saya tidak memakai kostum kerana tak ada ‘job’ (kerja),” katanya yang turut berkhidmat sebagai budak penghantar atau ‘runner’ secara separuh masa dengan sebuah syarikat kurier ketika ini.

Jelas Mohamad Syukur, dia bagaimanapun belum memikirkan kostum adiwira yang sesuai untuk dikenakannya ketika hadir menerima suntikan vaksin kedua di situ selepas ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.