Tokey Social Enterprise bantu orang ramai impak pandemik Covid-19

Tokey Social Enterprise bantu orang ramai impak pandemik Covid-19

DINIE Fadil bersama barangan untuk disumbangkan kepada orang ramai yang terkesan akibat pandemik Covid-19 di Negeri Sembilan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Tokey Social Enterprise hadir dengan kempen #WaghihBantuWaghih bertujuan untuk membantu mengumpulkan dana bagi disumbangkan kepada orang ramai yang terkesan akibat penularan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Pengasas pertubuhan itu, Dinie Fadil, berkata, kempen yang bertempat di Negeri Sembilan sebagai menyokong mereka yang memerlukan bantuan tanpa mengambil kira perbezaan bangsa dan agama.

Jelasnya, sehingga kini, gerakan itu telah berjaya mengumpulkan dana sejumlah RM11,677.98 dan mengedarkan sebanyak 165 kotak makanan, 26 pek barangan keperluan bayi dan 10 pek keperluan kebersihan.

“Pasukan kami juga mendapat banyak panggilan dari mereka yang memerlukan di negeri lain seperti Selangor, Johor, Sabah dan Melaka. Jadi, dengan semangat saling membantu, kami telah menghantar maklumat tersebut kepada NHO atau individu yang dapat membantu di sana.

“Pada masa ini, kami masih mengumpulkan dana secara aktif untuk menghantar bantuan kepada lebih 100 pemohon yang terjejas akibat Covid-19. Jika ada yang memerlukan bantuan, boleh hubungi saya secara terus di Instagram @diniefadil atau laman sesawang https://kitajagakita.com/,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kempen #WaghihBantuWaghih sebagai sahutan kepada kempen kibar bendera putih yang pernah tular baru-baru ini untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik akibat penularan pandemik Covid-19 sehingga menjejaskan pendapatan serta kehidupan seharian.

Bantuan itu hadir dalam pelbagai bentuk yang antaranya bakul makanan, barangan keperluan dan kebersihan serta barangan asas bagi mengelakkan jangkitan Covid-19 seperti pelitup muka dan cecair pembasmi kuman.

Kempen #WaghihBantuWaghih turut mendapat sokongan dan kerjasama pelbagai pihak seperti GAP Malaysia, Tokey.my, TheBagiBALIK Movement, Putra Centre For Social Studies, Happy Bank Crew, Tanah Aina Cafe dan OrphanCare Foundation.

Dalam pada itu, kata Dinie, terdapat pelbagai situasi menyayat hati yang dialami mereka sepanjang kempen itu berjalan termasukkan menyaksikan beberapa keluarga yang takut menaikkan bendera putih malah bimbang jika diberi amaran atau denda oleh pihak berkuasa.

Namun, jelasnya, hanya dengan mengibarkan bendera putih sahaja yang dirasakan jalan terakhir bagi mereka meneruskan kelangsungan hidup di tengah situasi yang mencabar selain kes jangkitan Covid-19 mencecah hampir 13,000 kes sehari.

“Justeru, rasa empati dan berbuat baik amat penting. Walaupun ada yang tidak dapat membantu dari segi kewangan, tetapi kita semua boleh melahirkan perasaan ini dengan sentiasa mengambil tahu dan berhubung dengan keluarga serta rakan,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya