JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengucapkan tahniah kepada rakyat negeri ini kerana kejayaan rekod pendaftaran bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 sudah mencecah 86.5 peratus.
Baginda bertitah, jumlah pendaftaran itu melibatkan seramai 2,346,163 orang setakat semalam.
“Syabas dan terima kasih saya ucapkan kepada rakyat Johor dan semua pihak yang terlibat dalam usaha pendaftaran vaksin Covid-19 yang kini sudah mencecah kadar 86.5 peratus.
“(Kejayaan ini) termasuk pejabat-pejabat daerah, agensi-agensi kerajaan negeri dan Southern Volunteers yang digerakkan sebulan yang lepas,” titahnya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tunku Ismail turut menyeru mereka yang belum mendaftar untuk melakukan pendaftaran secepat mungkin supaya kesejahteraan rakyat terjamin dengan imuniti kelompok dan pemulihan ekonomi Johor juga dapat bermula.
Pada 14 Julai lalu, baginda telah bertitah agar bilangan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ditambah bagi meliputi seluruh daerah di negeri ini dalam usaha mempercepatkan proses pemberian vaksin kepada rakyat Johor.
Tunku Mahkota Johor turut bertitah agar bilangan pegawai perubatan juga patut ditambah bagi meliputi seluruh negeri Johor.
Langkah itu agar program vaksinasi di semua daerah di negeri ini diberi keutamaan supaya imuniti kelompok boleh dicapai secepat mungkin. – UTUSAN










