ISKANDAR PUTERI: Tiga lelaki yang baru berjinak-jinak dalam kegiatan jenayah penipuan dalam talian tidak sempat merasa komisen sehingga lima peratus apabila lokasi mereka diserbu polis di sebuah kediaman di kawasan Lebuh Medini Utara, Medini, di sini semalam.
Ketiga-tiga lelaki warga tempatan berusia 19 tahun hingga 23 tahun itu juga tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan dipercayai baru beroperasi kira-kira seminggu lalu.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, sindiket itu baru sahaja menyewa kediaman itu pada pertengahan bulan ini dan merancang untuk bertukar lokasi lain bagi menjalankan kegiatan penipuan berpandukan arahan daripada seorang lelaki warga tempatan.
“Ketiga-tiga suspek bagaimanapun menyatakan bahawa mereka tidak pernah berjumpa dengan lelaki tersebut dan hanya berhubung melalui aplikasi Wechat serta akan menerima komisen sebanyak lima peratus daripada jumlah wang hasil menipu mangsa.
“Bagaimanapun, difahamkan sindiket ini yang menyasarkan mangsa khususnya warganegara England belum dapat mencatat sebarang keuntungan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Dzulkhairi, dalam serbuan pada pukul 5 petang itu, polis turut merampas 25 unit telefon bimbit pelbagai jenama, enam komputer riba pelbagai jenama, sebuah fail dan serangkai kunci rumah yang keseluruhan rampasan berjumlah RM26,600.
Beliau berkata, kes siasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, manakala kesemua suspek kini direman selama tiga hari bermula hari ini. – UTUSAN ONLINE