Tinggalkan PN lebih strategik, UMNO perlu usaha tubuh kerajaan interim - Khaled Nordin - Utusan Malaysia

Tinggalkan PN lebih strategik, UMNO perlu usaha tubuh kerajaan interim – Khaled Nordin

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Keputusan agar UMNO meninggalkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah lebih baik dan strategik daripada membelakangkan kepentingan nasional dalam saat krisis ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini kerana Malaysia sedang berada dalam suatu krisis Perlembagaan.

Menurut beliau, kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam tidak menjernihkan keadaan malah akan menjadikan ia semakin meruncing.

“Wakil rakyat UMNO hanya mempunyai satu pilihan iaitu mendukung titah Yang di-Pertuan Agong dengan sepenuh jiwa dan raga. UMNO tidak wajar terheret dalam konflik ini (kerana) iltizam UMNO sedari awal penubuhannya adalah antara lain mempertahankan institusi Raja.

“Apa jua tindakan yang tidak selari dengan iltizam tersebut adalah bertentangan dengan nilai, pendirian dan perjuangan UMNO,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurut bekas Menteri Besar Johor itu, jalan keluar daripada semua yang berlaku itu adalah untuk UMNO mengusahakan penubuhan kerajaan interim.

“Meninggalkan PN adalah lebih baik dan strategik daripada membelakangkan kepentingan nasional dalam saat krisis ini. UMNO cannot abandon the nation for Perikatan Nasional. Apa lagi bila wibawa kerajaan telah punah sepunah-punahnya,” ujarnya.

Mohamed Khaled turut memberitahu, UMNO mesti menggunakan kesempatan ini untuk memberikan kepimpinan yang diharapkan demi sebuah negara yang sangat memerlukan.

“UMNO mesti menyelamatkan Malaysia dengan mengusahakan penubuhan kerajaan interim untuk menguruskan ekonomi negara, menguruskan krisis kesihatan dan mentadbir negara demi menyediakan ia untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“Kerajaan interim ini terhenti bila PRU diadakan. Parlimen mesti harus terus bersidang, kebebasan media dan media sosial dijamin, setiap keputusan dan perbelanjaan kerajaan mesti di bentangkan di Parlimen demi kepentingan semak dan imbang serta fungsi Perlembagaan mesti dipulihkan sepenuhnya.

“Saat UMNO terbelenggu dengan nafsu demi kuasa dan kedudukan dalam kerajaan PN telah berakhir jadi wakil rakyat UMNO mesti memilih sama ada bersama Raja dan rakyat atau bersama dengan Perdana Menteri dan PN,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya