SHAH ALAM: Keberadaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu di Raub, Pahang dipertikai kerana merentas sempadan negeri Selangor yang kini sedang dalam penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Keberadaannya dipertikai kerana beliau adalah wakil rakyat di Selangor, malah Pahang yang kini berada dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2 juga masih tidak dibenarkan rentas negeri.
Perkara itu dipersoal Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi, yang menegaskan tindakan Ronnie merentas negeri amat dikesali dan memalukan di saat rakyat di kawasannya bersungguh-sungguh berkurung di rumah.
“Apabila diminta menunjukkan surat kebenaran rentas daerah, Ronnie langsung tidak mengendahkan permintaan pegawai polis berkenaan malah tidak turun dari kenderaannya, menunjukkan kesombongannya sebagai seorang penggubal undang-undang.
“Sewajarnya pihak berkuasa khususnya polis mengambil tindakan paling keras terhadap Ronnie yang telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan menghalang pihak berkuasa menjalankan tugas mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Video memaparkan tindakannya mempertikai tugas polis ketika pertelingkahan yang berlaku di pekarangan Bangunan Mahkamah Majistret Raub, Pahang sebelum ini juga tular dalam media sosial.
Ronnie dikesan berada di lokasi tersebut untuk memberikan sokongan terhadap 18 orang penceroboh hutan simpan di daerah berkenaan yang telah ditahan polis dan dibawa ke mahkamah untuk memperoleh perintah reman terhadap mereka. – UTUSAN ONLINE