PETALING JAYA: Tiada cubaan melarikan diri oleh pekerja warga asing di Mentari Court, di sini seperti dakwaan tular dalam media sosial semalam susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan itu.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, sebelum pelaksanaan PKPD, mana-mana individu bebas bergerak dalam radius 10 kilometer atau atas tujuan bekerja.
“Bagaimanapun, selepas pelaksanaan PKPD bermula 12.01 tengah malam tadi, tiada pergerakan keluar dari kawasan ini dibenarkan.
“Mungkin timbul salah faham apabila ada pekerja warga asing yang didakwa melarikan diri seperti dakwaan tular dalam media sosial namun tiada kes sedemikian kerana mereka masih bebas keluar dan masuk sebelum pelaksanaan PKPD,” katany selepas meninjau pelaksanaan PKPD di Mentari Court, hari ini.
Mohamad Fakhrudin berkata, pihaknya bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan melakukan proses merekod butiran diri semua 17,000 penghuni Menteri Court bagi mengelak pergerakan keluar dan masuk tanpa kebenaran semasa PKPD dilaksanakan.
Terdahulu, polis menafikan dakwaan pekerja kilang warga asing yang tinggal di Mentari Court meninggalkan kediaman mereka susulan pelaksanaan PKPD di kawasan itu bermula tengah malam tadi.
Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya ada menerima maklumat mengenai dakwaan itu yang dikatakan berlaku petang semalam.
Bagaimanapun, semakan dilakukan dengan kilang terbabit mendapati berlaku salah faham dengan penghuni Mentari Court dan tiada pekerja warga asing yang keluar dari kawasan itu seperti dakwaan tular di media sosial.
Semalam, satu video berdurasi 33 saat tular menunjukkan sekumpulan penghuni dipercayai pekerja kilang didakwa cuba meninggalkan kawasan itu sambil membawa barangan peribadi.
Dalam video sama juga dilihat terdapat beberapa penduduk dan pengawal keselamatan di kawasan berkenaan cuba menghalang pergerakan keluar mereka.- UTUSAN ONLINE