TH di bawah BNM: Tujuan tambah baik pengurusan, operasi - Utusan Malaysia

TH di bawah BNM: Tujuan tambah baik pengurusan, operasi

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Keputusan meletakkan Tabung Haji (TH) di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM) bertujuan menambah baik pengurusan dan operasi TH secara menyeluruh.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia sebagai melindungi kepentingan pendeposit dan memperkasakan kedudukan kewangan TH dalam memenuhi mandatnya selaras dengan amalan standard tadbir urus baik yang ditetapkan Konvensyen PBB Memerangi Korupsi (UNCAC).

Menurut beliau, TH juga merupakan institusi kewangan yang disifatkan sistemik dan saling berhubung rapat dengan sistem kewangan negara berikutan skala operasinya yang besar (dari segi saiz deposit dan pelaburan).

“(Ia meliputi) mengurus sejumlah hampir RM82 bilion deposit pada suku kedua tahun ini, merangkumi 10 peratus daripada jumlah deposit sistem perbankan Islam. Sebahagian daripada deposit yang diterima ini diletakkan di institusi perbankan Islam. Pengeluaran deposit secara mendadak berupaya mencetuskan masalah kecairan bagi institusi perbankan Islam berkenaan.

“TH memegang sebanyak RM36 bilion sukuk korporat, mempunyai aset saham besar dalam bentuk pelaburan strategik di pelbagai syarikat korporat termasuk yang disenaraikan di Bursa Malaysia selain merupakan pemegang saham terbesar Bank Islam Malaysia Berhad,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tengku Zafrul berkata, bagi meningkatkan kemapanan TH dalam jangka masa panjang, cadangan aturan pengawalseliaan yang lebih formal di bawah BNM akan meletakkan TH sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang ditetapkan di bawah Seksyen 223 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 [Akta 759].

Beliau menjelaskan, pemantauan dan kawal selia BNM merupakan komponen penting dalam usaha memperkasakan TH sebagai sebuah institusi Islam lebih berdaya tahan dalam ekosistem kewangan negara dan ke arah mengangkat kedudukan TH sebagai sebuah Government-Linked Investment Company yang cemerlang dan lestari di peringkat global.

Beliau berkata, BNM dipertanggungjawabkan di bawah Akta Bank Negara Malaysia 2009 [Akta 701] antara lainnya untuk memelihara kestabilan sistem kewangan negara dibawah akta itu dan Akta 759 termasuk mengawal selia institusi kewangan bersifat sistemik, tertakluk kepada keperluan tadbir urus yang terkandung di dalam akta-akta berkenaan.

“Pendekatan sama diguna pakai dalam mengawal selia institusi kewangan pembangunan yang ditubuhkan dengan mandat khusus seperti Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat).

“Oleh yang demikian, cadangan rangka kerja pengawalseliaan BNM ke atas TH akan disesuaikan berdasarkan ciri-ciri dan risiko model perniagaannya iaitu ‘fit-for-purpose regulation’, tidak semestinya sama dengan institusi perbankan lain,” katanya.

Dalam konteks itu, Zafrul berkata, sebagai contoh ialah keperluan pematuhan kecukupan modal yang khusus akan dibangunkan bersesuaian dengan model perniagaan TH iaitu pengambilan deposit (bahagian liabiliti) untuk tujuan pelaburan (bahagian aset), berbeza dengan institusi perbankan yang mengambil deposit (bahagian liabiliti) bagi tujuan utama memberi pembiayaan (bahagian aset).

Katanya, keperluan kecairan yang bersesuaian dengan ciri-ciri deposit dan pelaburannya bagi memastikan TH dapat mengurus aspek kecairan dengan lebih mantap dalam memenuhi kehendak pengeluaran pendepositnya tanpa mendatangkan kesan negatif terhadap keberuntungan TH dan sistem kewangan secara keseluruhannya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pengawalseliaan BNM adalah perlu bagi mewujudkan aspek semak dan imbang selaras dengan ketetapan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah dan telah lama diamalkan dalam konteks tadbir urus pembangunan negara.

“Dalam hal ini, secara dasarnya BNM akan menumpukan peranan kawal seliaannya antara lain terhadap aktiviti pengambilan deposit, pengurusan risiko, tadbir urus korporat dan ketelusan.

“Pendekatan semak dan imbang yang serupa telah dilaksanakan dalam pasaran modal dan industri lain. Contohnya, Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang dikawal selia Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) tidak menghalang atau menyekat PNB daripada melaksanakan mandat asalnya dalam agenda pembangunan negara terutamanya memakmurkan ekonomi bumiputera,” katanya.

Dalam konteks syariah, Tengku Zafrul berkata, BNM mempunyai Majlis Penasihat Syariah BNM yang dianggotai para cendekiawan syariah dan individu berpengetahuan dan berpengalaman serta turut diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Katanya, walaupun TH dicadangkan sebagai sebuah Institusi Kewangan Islam yang ditetapkan (prescribed Islamic financial institution), kerajaan akan tetap memberi jaminan terhadap simpanan pendeposit.

Dalam erti kata lain, jelasnya, pendeposit TH terus menikmati jaminan kerajaan seperti sekarang (status quo) sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Tabung Haji 1995 [Akta 535] dan pendekatan itu sama seperti BSN yang dikawal selia BNM di mana simpanan pendeposit masih dijamin sepenuhnya kerajaan.

“Setiap aktiviti pelaburan TH hendaklah patuh syariah dan penilaian pelaburan perlu dilaksanakan melalui satu proses yang teliti dan telus seperti mana amalan institusi dana yang lain dengan penubuhan Panel Pelaburan dianggotai individu-individu mempunyai latar belakang dan kepakaran dalam bidang kewangan dan pelaburan.

“Langkah ini bertujuan memastikan pelaburan yang dibuat adalah teratur dan berpandukan risk appetite TH, serta dapat menjamin pembayaran hibah dibuat selaras dengan ketetapan di bawah peruntukan Seksyen 22(3) Akta 535,” katanya.

Kementerian Kewangan akan bekerjasama rapat dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri untuk memastikan hak mutlak dan kepentingan pendeposit TH tidak akan terhakis, malah akan ditambah baik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN