SEREMBAN: Seekor tapir jantan yang mengalami patah di bahagian kaki diselamatkan sepasukan anggota bomba dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pagi tadi.
Ketua Balai Bomba Seremban, Mohammad Idris berkata, tapir seberat 300 kilogram itu dipercayai terjatuh dari tebing dalam sebuah kebun durian di Pantai, dekat sini.
Jelas beliau, pihaknya menerima panggilan daripada pekebun durian yang memaklumkan kejadian tersebut pada pukul 7.37 pagi dan tiba di lokasi kejadian 17 minit kemudian.
“Setibanya di lokasi kami dapati seekor tapir terbaring selepas kaki kiri di bahagian belakangnya patah dipercayai terjatuh dari tebing tinggi.
“Selepas membantu mengangkat tapir tersebut pihak bomba menyerahkan ia kepada Jabatan Perhilitan Negeri Sembilan untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Jelasnya, seramai sembilan orang anggota bomba dan empat orang anggota Jabatan Perhilitan terlibat dalam operasi menyelamat haiwan tersebut.