LANGKAWI: Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa belum menerima notis kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan memandu uji kereta di Autocity, Juru, Pulau Pinang bulan lepas.
Menurutnya, beliau akan membayar kompaun tersebut selepas menerima notis tersebut.
“Saya tunggulah (notis kompaun), saya tunggu. Dah dapat notis saya pi (pergi) bayar,” katanya. selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC), di sini hari ini.
Yang hadir sama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.
Semalam, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain memberitahu, pihaknya sudah menerima arahan dan akan mengeluarkan kompaun ke atas Muhammad Sanusi dalam masa terdekat.
Mohd.Shuhaily berkata, pihaknya sudah menerima arahan tersebut namun enggan mengulas lanjut.
Sebelum ini, kertas siasatan kes tersebut telah dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri Pulau Pinang.
Siasatan kes ini disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan 2021.
Pada 5 Jun lepas, tular gambar dan video memaparkan individu dipercayai Muhammad Sanusi memandu uji sebuah kereta sedangkan negara kini berada di bawah sekatan pergerakan penuh yang mana pusat jualan dan pameran kenderaan tidak dibenarkan beroperasi. – UTUSAN ONLINE