GEORGETOWN: Anak-anak yatim yang kehilangan ibu bapa khususnya akibat pandemik Covid-19 atau anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan boleh memohon untuk ditempatkan di bawah Persekutuan Kebajikan Anak-anak Yatim Islam Pulau Pinang.
Yang Dipertuanya, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, pihaknya sentiasa bersedia menerima anak-anak daripada golongan kurang bernasib baik itu untuk mendapatkan perlindungan dan pembelaan sewajarnya.
Tambah beliau, pihaknya terkesan serta bimbang dengan sekian banyak laporan mengenai nasib kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa khususnya akibat pandemik Covid-19 ketika ini.
Ujarnya, ketika ini terdapat seramai 67 anak-anak yatim yang ditempatkan di asrama persekutuan itu di Jalan Air Itam (lelaki) dan Jalan Scotland (perempuan) di sini yang boleh menempatkan sehingga 300 penghuni pada satu-satu masa.
“Kami mempunyai kemudahan yang serba lengkap untuk kanak-kanak ini meneruskan kehidupan dengan sempurna termasuk dari aspek pendidikan yang mana mereka akan ditanggung sehingga berada di institusi pengajian tinggi.
“Kita juga mengalu-alukan anak-anak yatim dari seluruh negara khususnya dari negeri-negeri di wilayah utara sekiranya mereka berhasrat untuk menjadi penghuni asrama persekutuan di negeri ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Mohd. Yussof, Persekutuan Kebajikan Anak-anak Yatim Islam Pulau Pinang itu merupakan antara 68 asrama kebajikan di seluruh negara yang bernaung di bawah Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Seluruh Malaysia (Peyatim).
Buat masa ini katanya, asrama kebajikan di bawah persekutuan tersebut menerima anak-anak yatim dan anak-anak daripada golongan kurang berkemampuan yang berumur tujuh tahun ke atas.
Jelasnya, pihaknya juga tidak berdepan masalah dana untuk menguruskan asrama kebajikan tersebut kerana selain menerima peruntukan daripada agensi kerajaan, pihaknya turut mendapat sumbangan daripada syarikat korporat dan individu.
Dalam pada itu, beliau berharap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara lebih aktif dan agresif untuk mengenal pasti anak-anak yatim untuk ditempatkan di asrama kebajikan yang berdaftar.
“Ini bagi memastikan nasib dan masa depan mereka yang kurang bernasib baik ini benar-benar dilindungi dan mengelak daripada diambil kesempatan oleh pihak tertentu,” katanya.
Mereka yang berminat untuk mendaftar atau mendapatkan maklumat lanjut mengenai asrama kebajikan persekutuan itu boleh menghubungi talian 04-828 8897 atau 04-229 7355. – UTUSAN ONLINE