ALOR SETAR: Penarikan semula darurat secara ‘senyap-senyap’ oleh kerajaan pada 21 Julai lalu dilihat sebagai bukti betapa langkah tersebut gagal dalam mencapai matlamatnya bagi menangani Covid-19 dan mengembalikan negara ini ke landasan sebenar.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Mohd. Fadzil Zolkipli berkata, penamatan darurat itu turut menimbulkan persoalan sama ada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih memiliki majoriti mudah untuk terus memimpin kerajaan.
Katanya, ketika ini rakyat seakan sudah hilang keyakinan kepada kerajaan kerana dilihat tidak mampu untuk berubah menjadi lebih baik serta memiliki haluan yang kabur dalam memimpin negara.
“Apakah kerajaan memikirkan rakyat Malaysia masih bodoh dan menerima saja tindakan mereka yang tidak telus. Rakyat mempersoal apakah benar darurat itu ditamatkan pada 21 Julai lalu atau keputusan itu dibuat tergesa-gesa berikutan arahan letak jawatan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada menteri, timbalan menteri dan pengerusi syarikat milik kerajaan (GLC) daripada UMNO.
“Tidak seperti permulaan darurat pada 12 Januari yang diumumkan besar-besaran, penarikan darurat ini pula dilakukan penuh rahsia sekali gus menimbulkan persoalan yang membingungkan orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Fadzil turut mempersoal sama ada Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 benar-benar telah mengesyorkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menamatkan darurat.
“Benarkan Yang di-Pertuan Agong telah memperkenan penamatan darurat ini atau kerajaan sendiri yang membuat keputusan tanpa merujuk kepada baginda?” katanya.
Tambahnya, tindakan menteri-menteri UMNO yang dilihat tidak bersuara bagi menegur sikap tidak telus kerajaan dan kepincangan kerajaan turut dikesalkan.
“Tidakkah mereka berani bercakap membawa suara parti yang tidak bersetuju dengan darurat tersebut. Sepatutnya mereka menjadi jurucakap kepada rakyat yang begitu terkesan dengan pelaksanaan darurat sia-sia hingga menjadi bahan uji kaji untuk golongan tertentu mempertahankan kuasa.
“Langkah menarik darurat ini menyebabkan kerajaan Malaysia menjadi perhatian dunia. Sudahlah Malaysia negara tunggal dalam dunia menggunakan darurat dengan alasan Covid-19 bagi menggantung Parlimen, sekarang tarik balik pula secara diam-diam,” katanya. – UTUSAN ONLINE










