Tangguh sambutan ulang tahun TYT Melaka - Adly Zahari - Utusan Malaysia

Tangguh sambutan ulang tahun TYT Melaka – Adly Zahari

ADLY Zahari (kanan) meninjau perjalanan vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Tun Ali, Bukit Katil, Melaka, baru-baru ini. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sambutan ulang tahun kelahiran Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam pada 24 Ogos depan perlu ditangguhkan ke satu tarikh lain, cadang Pakatan Harapan (PH) Melaka.

Pengerusinya, Adly Zahari berkata, ia selaras dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menangguhkan sambutan ulang tahun keputeraan rasmi Seri Paduka pada Jun lalu.

“PH negeri mencadangkan agar sambutan ini ditangguhkan dulu bagi memastikan semua keupayaan merangkumi sumber manusia dan kewangan digunakan sepenuhnya untuk membantu rakyat dan pemulihan negeri,” katanya dalam kenyataan bersama Pengerusi DAP Melaka, Datuk Tey Kok Kiew dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Datuk Halim Bachik.

Semalam, sebanyak tiga lagi kluster baharu antara penyumbang 526 kes positif baharu di negeri ini.

Menurut Jabatan Kesihatan negeri, tiga kluster itu ialah Kluster Jalan D’Aranjo, Kluster Jalan Lebuh Ayer Keroh dan Kluster Jalan Jasin Bestari.

Dalam pada itu, Adly menambah, PH juga mahu kerajaan negeri memberi fokus untuk membantu dan membangunkan ekonomi tempatan.

Jelasnya, bantuan kepada usahawan mikro, kecil dan sederhana perlu diberikan keutamaan bagi memastikan rantaian ekonomi terus bertahan, seterusnya dapat membantu menjana pendapatan rakyat ke arah pemulihan ekonomi.

Jelas beliau, pada masa sama penggunaan sumber manusia dan kewangan secara optimum dapat mempercepatkan proses vaksinasi, pemulihan ekonomi dan membantu rakyat yang terkesan.

“Kerajaan negeri perlu meletakkan keutamaan peruntukan dan perbelanjaan untuk kebajikan rakyat secara keseluruhannya. Tumpuan harus diberikan untuk membantu rakyat yang terkesan iaitu mereka yang kehilangan pekerjaan, mengalami pengurangan pendapatan, kelaparan dan sakit.

“Kesihatan mental akibat tekanan hidup juga bukan isu yang boleh dipandang ringan oleh kerajaan negeri. Melaka memerlukan pasukan yang cekap untuk menangani krisis yang berlaku bagi memastikan pencegahan penularan wabak dibuat secara sistematik dan teratur serta pemulihan ekonomi dapat disegerakan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN