MELAKA: Penduduk Taman Muzzafar Shah, Ayer Keroh di sini tergamam lagi apabila dikejutkan dengan kehadiran ular sawa, pagi semalam.
Dalam kejadian pukul 7.30 pagi itu, reptilia sepanjang enam meter dengan berat 20 kilogram berkenaan ditemukan ketika sedang membelit dan menelan seekor kucing milik penduduk di Jalan Seri Raya 4.
Ini merupakan kejadian kedua haiwan liar tersebut ditemukan di taman itu.
Dalam kejadian pertama, pada 21 Mei lalu, Utusan Malaysia melaporkan, ular seberat 20 kilogram ditangkap ketika cuba membelit seekor kucing di Jalan Seri Mahkota 2.
Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Ayer Keroh, Abdul Rashid Alip berkata, dia yang sedang berjoging bersama isterinya ternampak seorang penduduk cuba menyelamatkan kucingnya yang sedang dibelit.
Melihat kejadian itu, dia terus menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka Tengah.
“Sementara menanti kedatangan APM, beberapa penduduk datang untuk membantu.
“Mujurlah seorang penduduk, Nazirul Syazwan Shahruddin Cik, 29, berjaya menarik reptilia itu ke tengah jalan raya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Abdul Rashid menambah, dalam tempoh 20 minit, ia berjaya ditangkap dan dimasukkan ke dalam karung plastik sementara menanti ketibaan APM.
“Anggota APM yang tiba tidak lama kemudian membawa ular berkenaan dan akan dilepaskan di satu habitat lain,” jelasnya.










