KISAH ini saya petik daripada perkongsian seorang rakan pemandu dalam Facebook Grab. Ceritanya ringkas sahaja, namun pengajarannya besar iaitu buat baik kepada sesiapa pun jua, pastilah akan memperoleh ganjaran berlipat ganda.
Cerita pemandu ini yang saya akronimkan sebagai KA sahaja, pagi itu dia memulakan harinya dengan menuju ke stesen minyak untuk mengisi petrol terlebih dahulu.
Kata KA, duit di dalam dompetnya sekadar RM18. Dia bercadang mengisi minyak sebanyak RM10 manakala RM8 untuk pemulangan baki penumpang sekiranya ada.
Setibanya di stesen minyak, selepas menutup enjin dan membuka pintu kereta, AK dihampiri oleh seorang pemuda berbaju lusuh yang meletakkan motosikal buruk di pam sebelah. Di atas motor tersebut, sebuah bakul besar berikat di bahagian belakang.
“Budak itu memberi salam kepada saya dan saya membalasnya.
“Kata budak itu, dia bekerja menjual besi buruk dan barang-barang lusuh. Duit dia hanya ada RM2 dalam poket dan tak cukup duit untuk mengisi minyak yang boleh sampai ke lokasi yang ditujunya.
“Belum sempat budak itu bercerita panjang, saya terus jawab, maaflah dik, saya pun ada RM18 saja sekarang.
“Lantas saya tunjukkan dia dompet yang berisi duit sebanyak itu. Saya katakan padanya yang saya mahu mengisi minyak RM10 manakala RM8 lagi untuk ‘duit pecah,” cerita KA.
Namun melihat wajah sugul pemuda tersebut, timbul belas di dalam hatinya. Kalaulah betul budak ini dalam kesusahan, tak patut baginya untuk tidak peduli.
“Tak apalah dik, ambillah RM2 ini buat tambah isi minyak. Cukup ke ni untuk sampai ke tempat itu, saya tanya dia.
“Budak itu cakap, cukup sangat dan berterima kasih banyak kepada saya,” kata KA.
Benarlah janji Tuhan. Jika kita ikhlas berbuat baik, pasti Tuhan akan mendatangkan ganjaran di atas perbuatan tersebut.
Selepas mengisi minyak RM10 dan membuka aplikasi Grab untuk mula ‘mengayuh’ pagi itu, tidak sampai 50 meter, KA mendapat Ping pertama.
“Pesanan pertama Grab hari itu adalah RM29 dan dibayar tunai. Alhamdulillah. Saya percaya rezeki itu datang hasil saya berbuat baik yang Tuhan balas dengan segera.
“Kita mungkin susah tapi ramai lagi yang lebih susah daripada kita. Kalau kita tak mampu tolong banyak, tolong saja semampu yang boleh asalkan ikhlas. Insya-Allah, cepat balasan sampai,” kata KA.
Tidak berhenti di situ, hari tersebut pendapatan Grab KA berlipat ganda banyak daripada hari-hari sebelumnya yang selalu ‘ketandusan’ Ping. Demikianlah. Membantu orang lain ketika kita dalam sulit, ganjarannya luar biasa.
Pastinya juga, Allah datangkan rezeki dalam pelbagai cara, mengikut keikhlasan berhadapan dengan ujian yang ada.