Syamilla Bihai akhirnya masuk perangkap - Utusan Malaysia

Syamilla Bihai akhirnya masuk perangkap

SYAMILLA Bihai yang menyerang lelaki Orang Asli di Gua Musang baru-baru ini, akhirnya berjaya dicekup Perhilitan Kelantan, Khamis lalu. - IHSAN PERHILITAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Harimau belang betina digelar ‘Syamilla Bihai’ yang sebelum ini menjadi ancaman kepada penduduk Orang Asli di Kampung Badak, Pos Bihai di sini akhirnya ditangkap kelmarin.

Harimau itu didapati cedera di beberapa bahagian iaitu kepala, tengah badan, leher dan ekor dipercayai akibat pergelutan dengan mangsa serangannya sebelum ini iaitu Adin Andok, 48, baru-baru ini.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima aduan mengenai haiwan itu daripada penduduk kampung sejak 5 Julai lalu.

Katanya, petugas Perhilitan kemudian memasang perangkap kamera di sekitar kawasan penemuan raja rimba itu dan hasil pemantauan mendapati Syamilla Bihai sering berkeliaran di situ.

“Pada 12 Julai, apan kakitangan menjalankan operasi tangkapan dan pemasangan satu unit perangkap harimau di kawasan kejadian tersebut sebelum menangkapnya kelmarin (Khamis).

Menurut kenyataan itu lagi, harimau belang dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai, Perak untuk rawatan susulan.

“Orang ramai disarankan supaya lebih berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar dan sebarang aduan serta maklumat boleh disalurkan kepada Jabatan perhilitan melalui talian hotline PERHILITAN 1-800-88- 5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my,” katanya.

Dalam kejadian pukul 3 petang 5 Julai lalu, Adin parah dicakar harimau belang ketika berada di kebun ubi kayunya di Kampung Badak, Pos Bihai.

Mangsa terpaksa menahan kesakitan akibat kecederaan dicakar harimau itu kira-kira 15 jam sebelum dibawa keluar menggunakan kenderaan pacuan empat roda ke Hospital Gua Musang dan Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk rawatan lanjut.

Masyarakat Orang Asli di sekitar kawasan itu menggelar haiwan buas itu sebagai Syamilla Bihai. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN