MARANG: Adik kepada lelaki yang maut ditembak di Taman Raya, Wakaf Tapai di sini tidak menyangka bunyi letupan yang disangka mercun ketika berada di sebuah kedai rupa-rupanya adalah tembakan.
Fong Swee Heng, 59, berkata, berita sedih yang menimpanya abangnya, Fong Swee Fuan, 65, dan anak saudara, Teo Hock Beng, 45, itu hanya diketahui selepas dimaklumkan seorang rakan.
Katanya, dia bergegas ke lokasi kejadian dan sempat bertembung dengan kenderaan suspek yang juga rakan baik abangnya kira-kira 25 meter sebelum ke destinasi.
“Suspek memperlahankan kenderaan dan dengan tenang memberitahu telah menembak abang serta anak saudara saya sekali gus menyuruh saya pergi melihat keadaan mereka.
“Perasaan pada waktu itu masih lagi antara percaya dengan tidak dan setibanya di sana, saya dapati abang sudah tidak bernyawa manakala anak saudara pula menahan kesakitan kerana parah ditembak,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadiaan hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, kedua-dua bersaudara berkenaan dipercayai ditembak dengan senapang patah oleh lelaki berusia 57 tahun yang juga merupakan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
Swee Heng tidak menolak kemungkinan sebelum kejadian mangsa bersama suspek berada di pondok Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di taman perumahan tersebut.