Sultan Selangor titah tambah pemberian vaksin, segera - Utusan Malaysia

Sultan Selangor titah tambah pemberian vaksin, segera

SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengulangi gesaan baginda kepada pihak bertanggungjawab ke atas pengagihan vaksin supaya menambah jumlah pemberian vaksin dengan kadar segera di Selangor.

Baginda bertitah, ia untuk memastikan nisbah peratusan selari dengan jumlah populasi dan jumlah kadar jangkitan wabak di negeri ini.

“Memandangkan terdapat banyak kilang dan perindustrian di Selangor, maka pemberian vaksin kepada pekerja-pekerja kilang harus disegerakan.

“Ini sebagai usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 dan mencapai imuniti kelompok,” titah baginda melalui kenyataan yang dikeluarkan Istana Bukit Kayangan.

Pada 8 Jun lalu, Sultan Sharafuddin bertitah berharap Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) mempercepatkan dan menambah bilangan dos vaksin untuk rakyat Selangor.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut menasihatkan seluruh umat Islam agar menyambut Hari Raya Aidiladha secara sederhana di kediaman masing-masing dan tidak pulang ke kampung atau keluar dari daerah masing-masing.

Baginda bertitah tidak mahu jangkitan Covid-19 terus merebak sebagaimana yang berlaku semasa Hari Raya Aidilfitri yang lalu.

“Tambahan pula, kes sporadik Covid-19 kini semakin tinggi dalam komuniti.

“Beta meminta sekalian rakyat agar berkorban kerana keadaan wabak Covid-19 masih meruncing, dengan jumlah kes baharu di Selangor yang melebihi 4,000 kes sehari dan jumlah kematian keseluruhan yang kini mencecah 2,063 orang,” titah baginda.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin berkenan menerima menghadap Timbalan Mufti Selangor baharu, Prof. Madya Dr. Miszairi Sitiris di Istana Bukit Kayangan yang memulakan tugas pada 1 Julai lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN