IPOH: Sindiket pelacuran yang menjadikan sebuah hotel di Jalan Raja Ekram di sini sebagai ‘pusat operasi’ terbongkar selepas lokasi itu diserbu Jabatan Imigresen Negeri Perak semalam.
Dalam serbuan Op Patuh bermula pukul 8.30 malam, enam wanita warga asing berusia 25 hingga 31 tahun yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) ditahan.
Pengarah Imigresen Perak, Hapdzan Husaini berkata, wanita yang ditahan itu merupakan warga Laos, Thailand, China dan Vietnam.
Katanya, turut ditahan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun dipercayai ‘bapa ayam’ bagi membantu siasatan.
“Setibanya di lokasi, didapati pintu bilik sarang aktiviti pelacuran berkunci dari dalam. Kita terpaksa memecahkan pintu bilik kerana wanita warga asing itu enggan memberi kerjasama.
“Pemeriksaan di dalam setiap bilik menemukan kondom yang dipercayai digunakan semasa melakukan aktiviti tidak bermoral itu,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan mendapati, sindiket itu mengenakan bayaran antara RM250 hingga RM300 untuk perkhidmatan seks bagi tempoh 45 minit.
“Wanita warga asing itu ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 6(1)(c) kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen1959/63 iaitu tinggal lebih masa.
“Lelaki tempatan yang bertindak sebagai bapa ayam itu pula disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen1959/63 kerana melindungi warga asing tanpa pas yang sah,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, sebanyak 12 lokasi merangkumi sembilan premis kediaman, sebuah hotel dan kedai runcit diserbu selain pemeriksaan jalan raya.
Katanya, dalam serbuan Op Patuh bermula pukul 8 pagi semalam sehingga 2 pagi ini, seramai 65 individu pelbagai warganegara diperiksa.
“Daripada jumlah tersebut, seramai 16 orang telah ditahan melibatkan empat lelaki dan seorang wanita Indonesia, dua lelaki Bangladesh, dua wanita Thailand, empat wanita Vietnam, dua wanita Laos dan seorang wanita China.
“Turut ditahan seorang lelaki tempatan dan kesemua mereka berusia antara 25 hingga 40 tahun,” katanya.