fbpx

Sidang Parlimen diteruskan atau tidak? Speaker Dewan Rakyat tentukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Situasi buruk melepasi sejuta kes dan meragut 8,000 nyawa menyebabkan ketua-ketua parti akan bermesyuarat mengenai perkara itu sebelum Sidang Khas Dewan Rakyat bermula.

Malah, kes tersebut turut membabitkan institusi Parlimen di mana lebih 30 individu dilaporkan positif dan kontak rapat Covid-19 sekali gus menjadi kebimbangan ahli Parlimen yang akan memulakan persidangan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber memberitahu, ketua-ketua parti akan bermesyuarat dengan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mengenai situasi terkini dan akan membuat keputusan sewajarnya mengenai tindakan yang perlu diambil supaya gejala Covid-19 tidak terus menular.

“Speaker Dewan Rakyat akan berunding dengan ketua parti mengenai keadaan terkini, ujian saringan di Parlimen pun telah dibuat, mendapati lebih 30 yang positif dan kontak rapat Covid-19. Dalam suasana negara dilanda Covid-19 mencecah 17,000 kes, ia akan dibincangkan mengenai kewajaran sama ada persidangan Parlimen akan diteruskan sehingga lima hari ataupun tidak.

“Bagaimanapun, tidak diketahui sidang khas ini akan disingkatkan sama ada kurang daripada lima hari atau tetap akan terus bersidang mengikut tarikh yang ditentukan sehingga 2 Ogos nanti.

“Semua keputusan ini akan terletak di tangan Speaker Dewan Rakyat dan ketua-ketua parti bagi menentukannya,” katanya ketika dihubungi.

Dalam perkembangan lain, berhubung Sidang Khas Dewan Rakyat, Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pihaknya sudah bersedia dengan senarai pembahas bagi menambah baik pada usul yang dibentangkan kerajaan.

“Kami di PNBBC sudah bersedia untuk lima hari persidangan, pembahas kami juga sudah bersedia untuk memberi cadangan dan penambahbaikan terhadap perkara yang dibentangkan kerajaan demi kepentingan rakyat.

“Kami hanya akan memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat dan tidak akan berkompromi dengan sebarang usaha untuk menjatuhkan kerajaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

POPULAR

KOSMO! TERKINI