PUTRAJAYA: Pengumuman Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa Perdana Menteri selaku Ketua Majlis Parlimen memutuskan memanggil sidang Parlimen secepat mungkin sebelum 1 Ogos ini melegakan hati semua pihak kerana ia mampu meredakan ketegangan dalam suasana politik negara ketika ini.
Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang Pengajian Kerajaan dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, sebelum ini wujud banyak perbincangan umum mengenai status titah pandangan Yang di-Pertuan Agong bahawa sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin dari sudut undang-undang negara, termasuk dari pakar undang-undang.
Menurut beliau, ada pihak menyatakan titah pandangan itu tidak mengikat Perdana Menteri dan Kabinet kerana Yang di-Pertuan Agong dikatakan perlu bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri dan Kabinet dalam perkara yang tidak membabitkan kuasa prerogatif Seri Paduka.
“Walaupun Perdana Menteri memberikan komitmen sehari selepas titah pandangan Yang di-Pertuan Agong dikeluarkan untuk akur, tetapi ketiadaan tarikh spesifik sidang Parlimen membuatkan parti-parti pembangkang memainkan sentimen kerajaan derhaka.
“Perlu diingat bahawa Yang di-Pertuan Agong sendiri tidak memberikan sebarang tarikh spesifik bila sidang Parlimen ini perlu diadakan, tetapi hanya menyebut pada kali pertama ia perlu diadakan secepat mungkin dan pada kali kedua ia perlu diadakan secepat mungkin dengan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kamarul Zaman berkata, hanya Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun yang menyebut dalam kenyataan bahawa Yang di-Pertuan Agong mahu ia diadakan sebelum 1 Ogos 2021.
Justeru katanya, dengan keputusan kerajaan hari ini, selepas dua hari kenyataan media itu dibuat, Perdana Menteri terus sahaja memutuskan akan memanggil sidang Parlimen secepat mungkin sebelum 1 Ogos sekali gus menghapuskan keraguan akan berlakunya apa-apa krisis Perlembagaan.
Dengan keputusan ini, beliau menjelaskan, maka kerajaan tidak boleh lagi dituduh sebagai kerajaan derhaka kerana ia membuktikan kerajaan sentiasa menjunjung titah pandangan Yang di-Pertuan Agong walaupun wujud pelbagai tafsiran yang berbeza ke atas status titah pandangan tersebut.
Pada masa sama, katanya, sudah pastilah kerajaan sendiri tidak akan berkompromi dengan keselamatan semua pihak tatkala pandemik Covid-19 masih berada pada tahap serius, oleh itu persiapan teliti perlu dilakukan bagi memastikan sidang Parlimen tidak membawa apa-apa risiko.
“Malah, selaras dengan kenyataan mutakhir Yang di-Pertuan Agong sendiri bahawa sidang Parlimen ini perlu diadakan dengan mengikut garis panduan dan SOP Covid-19, saya jangkakan sidang ini akan mampu dilaksanakan pada minggu terakhir bulan ini.
“Adalah dijangkakan bahawa Mesyuarat Kabinet pada 7 Julai ini akan menerima pakai cadangan Yang Dipertua Dewan Negara dan Yang Dipertua Dewan Rakyat agar satu sidang khas Parlimen secara fizikal dapat diadakan sebelum 1 Ogos,” katanya.
Kamarul Zaman berkata, adalah dijangkakan juga bahawa sidang khas Parlimen itu akan meluluskan cadangan Jawatankuasa Khas Pemandu Persidangan Parlimen Secara Hibrid supaya sidang Parlimen normal seterusnya dilaksanakan secara hibrid dengan meminda Peraturan Mesyuarat dan menyelesaikan perkara-perkara teknikal yang berkaitan dengannya.
Kata beliau, Perdana Menteri sewajarnya patut dipuji kerana tidak membiarkan polemik mengenai tarikh sidang Parlimen akan diadakan berlanjutan lebih lama yang hanya akan membuang masa dan menghangatkan kembali suhu politik seterusnya mengalihkan tumpuan daripada memerangi Covid-19.
“Sesungguhnya keputusan Perdana Menteri ini adalah penyelesaian menang-menang, tidak ada apa yang perlu dimalukan kerana beliau sendiri tidak pernah memberikan sebarang bayangan untuk tidak akur kepada titah pandangan Yang di-Pertuan Agong, dan keakuran ini membuktikan kerajaan ini mendukung sepenuhnya prinsip kesetiaan kepada raja,” katanya.